Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teo: Ambil kira murid berkeperluan khas dalam SOP pembukaan semula sekolah
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 4:03 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Teo Nie Ching menggesa Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin mengambil kira keperluan pelajar berkeperluan khas dalam prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sekolah.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai ramai pakar yang boleh memberi cadangan dan langkah-langkah penting yang sepatutnya sudah dimasukkan dalam SOP tersebut.

"Saya ingin menyeru menteri pendidikan melihat keperluan, kebimbangan dan keresahan para ibu bapa serta guru-guru terhadap SOP untuk murid-murid berkeperluan khas apabila pulang ke sekolah dan ke asrama.

"Aspek ini (keperluan pelajar pendidikan khas dalam SOP) perlu dititik berat agar Dasar Penolakan Sifar tidak mengalami kejutan negatif keterlaluan yang akan menjejaskan guru, ibu bapa, murid serta pegawai Bahagian Pendidikan Khas," katanya dalam kenyataan.

Difahamkan SOP yang dikeluarkan KPM baru-baru ini adalah untuk semua jenis sekolah, tanpa perbezaan antara sekolah biasa dengan sekolah pendidikan khas.

Dasar Penolakan Sifar diperkenalkan ketika pentadbiran PH bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang upaya menyertai sistem pendidikan.

Menurut Bernama pada 2 Jan lalu, sepanjang 2019, berlaku peningkatan sebanyak 88,419 orang murid berkeperluan khas (MBK) mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas berbanding 83,598 orang pada 2018.

Teo meminta Radzi turut memberi sokongan terhadap pelajar golongan itu, sepertimana yang ditunjukkan menteri pendidikan sebelum ini, Dr Maszlee Malik.

"Jika kementerian rasa aspek ini perlu dipertingkatkan lagi, mungkin bantuan pakar dari Unicef boleh dihubungi bagi memastikan semua cadangan serta idea berhubung dengan cara-cara murid berkeperluan khas harus ditangani dalam keadaan menangani COVID-19 dapat diperhalusi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS