Bukit Aman hari ini menafikan bahawa mereka menghubungi peserta ‘Parlimen Digital’ untuk disoal siasat.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu pemberita beliau keliru membaca laporan berita yang mendakwa pihaknya bertindak demikian.
“Saya nak tahu siapa dia yang dipanggil oleh polis itu dan polis mana yang memanggilnya. Saya nak tahu.
“Setakat ini saya belum dapat lagi (maklumat), saya dah semak, tidak ada pihak saya memanggil mereka ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu program kerajaan di Putrajaya hari ini.
Abdul Hamid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita ekoran laporan terkini, apabila penganjur Parlimen Digital mendakwa peserta mereka yang dihubungi pihak polis setelah acara itu selesai Sabtu lalu.
Susulan hal itu, beberapa organisasi dan individu termasuk Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Lawyers for Liberty mengkritik tindakan pihak berkuasa terbabit.
Abdul Hamid berkata beliau tidak melihat sebarang elemen jenayah menerusi program tersebut dan tetap menghormati kebebasan bersuara.
Tambahnya, beliau juga menggesa peserta yang dihubungi pihak polis supaya tampil untuk memberi maklumat berkenaan perkara tersebut.
“Saya minta kerjasama siapa yang buat aduan supaya (yang mendakwa dihubungi) tampil ke depan.
“Jangan bimbang kita akan ambil tindakan seadilnya.
“Saya tidak tahu, ini kira berita untuk saya, konon polis panggil ambil kenyataan,” katanya lagi.