Beberapa pemimpin Umno terus berkias-kias mengenai perjalanan kerajaan Perikatan Nasional yang kini diterajui Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Pagi ini bekas menteri Umno, Ahmad Shabery Cheek, berkias menggunakan analogi persembahan muzik.
Kata beliau violin (biola kecil) merupakan alat muzik yang mengeluarkan bunyi merdu. Nama lain bagi alat itu ialah fiddle.
Menurut bekas menteri pertanian dan industri asas tani itu, pemuzik yang bermain second fiddle adalah kumpulan pemain latar.
"Walaupun kelihatan ramai tetapi hanya sekadar latar untuk memerdukan melodi pemain utama," katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Kata Ahmad Shabery lagi dalam politik istilah second fiddle merujuk kepada peranan pihak atau kumpulan yang diletakkan sebagai penyokong saja, kurang penting dan lemah.
"Lagu utama dimainkan orang lain. Dia ikut sahaja.
"Dilema banyak parti politik hari ni pun sama. Apakah ramai tetapi sekadar untuk menjadi pemain second fiddle?" katanya.
Ia menjadi lebih menarik apabila hantaran itu disambut pula bekas Pengerusi Felda Shahrir Samad.
Nak bercakap mesti berasas
"Jangan-jangan kita jadi second fiddle," katanya ringkas melalui hantaran yang melampirkan kenyataan Ahmad Shabery.
Untuk rekod Ahmad Shabery dan Shahrir adalah antara pemimpin kanan Umno yang menyatakan rasa kurang senang dengan pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ia perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023 namun ada petanda membayangkan parlimen mungkin dibubarkan lebih awal untuk membolehkan PRU ke-15 diadakan.
Kedudukan sokongan terhadap Muhyiddin yang dianggap masih belum kukuh menjadi satu daripada alasan mengapa pelbagai usaha dibuat bagi mengatasinya.
Untuk rekod, Umno dan PAS - yang membentuk Muafakat Nasional - menyatakan secara prinsip mereka menyokong Muhyiddin terus menjadi perdana menteri.
Ia kemudian disambut dengan reaksi tidak memberangsangkan oleh beberapa pemimpin termasuk Shahrir dan seorang naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum membuat hantaran mengenai second fiddle Shahrir terlebih dulu semacam menyindir kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan media.
Menariknya kenyataan yang diulas itu turut membabitkan Muhyiddin.
"Apabila menteri yang bercakap, mestilah berasas.
"Saya hanya mampu tengok kepada fakta dan angka. Dan saya pun bukan menteri," katanya mengenai kenyataan Tuan Ibrahim berkenaan kemenangan calon Muafakat Nasional di Chini baru-baru ini.
Dalam kenyataan tersebut Tuan Ibrahim berkata PAS melihat sokongan Muhyiddin menjadi antara faktor membantu kemenangan besar calon BN terbabit.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kemenangan itu juga sekali gus menyaksikan masa depan Perikatan Nasional (PN) amat cerah.
"Tahniah kepada rakan kami dalam Muafakat Nasional, BN kerana memperoleh kejayaan besar dalam PRK DUN Chini.
"Kita sudah menjangkakan akan memperoleh kemenangan. Namun ada dua perkara yang menyumbang kepada kejayaan itu iaitu sikap positif yang ditunjukkan petugas daripada ketiga-tiga parti iaitu Umno, PAS dan Bersatu sangat baik," katanya.