Kerajaan Perikatan Nasional dihujani kritikan berikutan pelantikan ahli parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Peguam Haniff Khatri, yang pernah mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan itu berlaku ketika Shabudin sedang berdepan saman dari Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), di mana beliau juga bekas pengerusinya.
Haniff berkata, pelantikan tersebut menjadi persoalan adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah membuang prinsip tadbir urus yang baik dan integriti.
“Shabudin, bersama dengan ahli lembaga pengarah dari Perda, masih berdepan dengan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Penang kerana melanggar fidusiari dan dakwaan salah laku yang difailkan pada 13 dan 14 Februari 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata pilihan melantik ahli parlimen dari Bersatu itu adalah keputusan yang mengecewakan, sambil menyorot semula kenyataan Shabudin mengenai isu rogol di Dewan Rakyat sewaktu menjadi ahli parlimen BN.
Adun DAP itu merujuk kepada kenyataan Shabudin pada 2017 yang mencadangkan agar seseorang wanita berkahwin dengan perogolnya supaya tidak melalui satu masa depan yang gelap.
Shabudin mencadangkan bahawa tindakan tersebut merupakan “remedi kepada masalah sosial yang berlaku.”
“Kenyataan di atas amatlah tidak menyakinkan wanita,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
"Saya ingin bertanya kepada semua anggota wakil rakyat PN, khususnya wakil-wakil rakyat wanita, adakah anda semua tidak berasa apa-apa dengan pelantikan ini?
“Adakah anak-anak perempuan kita akan lebih selamat dengan seorang timbalan menteri undang-undang yang mempunyai pemikiran sebegini? Tepuk dada tanya selera,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Shabudin sebagai timbalan menteri di JPM yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan parlimen.
Shabudin menggantikan ahli parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang akan mengambil alih jawatan timbalan menteri kerja raya, yang dikosongkan oleh ahli parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh.