Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

NGO dan masyarakat sivil menyuarakan harapan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal komited dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), sama seperti ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PH.

"Ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, Perdana Menteri telah memberikan komitmennya bahawa IPCMC akan menjadi realiti dan kami berharap beliau berpegang kepada kata-katanya," menurut wakil Majlis Peguam M Ramachelvam.

Beliau bercakap dalam forum yang dianjurkan Amnesty International (AI) Malaysia hari ini berhubung suruhanjaya polis yang berkesan di Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Panel lain termasuk wakil Eliminating Deaths and Abuse In Custody Together (Edict) Rama Ramanathan dan Society for the Promotion of Human Rights Ivy Josiah.

"Pada September 2018, perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir Mohamad) berkata kita akan menukar Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kepada IPCMC.

"Seperti yang anda katakan, Menteri Dalam Negeri ketika itu, yang kini menjadi Perdana Menteri, berkata akan ia akan menjadi realiti menjelang akhir tahun (2019," kata Josiah.

Ivy Josiah

Beliau juga membangkitkan pada Februari 2004, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneroka reformasi polis yang kemudiannya mengesyorkan 125 cadangan, termasuk penubuhan IPCMC.

"Dua Perdana Menteri berkata ia idea yang baik: Abdullah dan Mahathir.

"Dan Muhyiddin juga berkata ia idea yang baik ketika menjadi Menteri Dalam Negeri. Tiga Perdana Menteri telah mengatakannya, jadi mari teruskannya," kata Josiah.

Bagaimanapun ketika RUU IPCMC pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat oleh kerajaan PH, pembangkang ketika itu iaitu BN menggesa ia ditangguh.

RUU itu kemudian ditarik balik untuk ditambah baik dan kerajaan PH tumbang sebelum ia dapat dibentangkam buat bacaan kedua dan ketiga.

Kini di bawah pentabdiran Perikatan Nasional (PN), Menteri Dalam Negeri Takiyuddin Hassan berkata RUU itu akan diperhalusi semula sebelum kabinet membuat keputusan muktamad.

Dalam forum hari ini, Ramachelvam berkata dalam RUU tersebut, antara perkara terpenting adalah suruhanjaya akan diberi kuasa disiplin.

"Tiada model (di negara lain) memberikan suruhanjaya disiplin polis dengan kuasa itu. Ini akan menjadi yang pertama di dunia jika ia diluluskan.

"Ia akan mempunyai kuasa seperti penurunan pangkat sehinggalah pemecatan," katanya lagi, sambil memaklumkan kuasa itu diseimbangkan "memandangkan rayuan boleh dibuat di mahkamah" jika perlu.

Sementara itu, Ramanathan berkata apa yang sangat diperlukan dalam usaha penubuhan IPCMC adalah data daripada polis.

Beliau memuji Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) kerana mengeluarkan data pada awal tahun ini berkenaan jumlah polis yang terlibat dalam pelbagai kesalahan.

Bagaimanapun, beliau berkata data itu kurang maklumat terperinci dan tidak menunjukkan apa-apa antaranya berkenaan pegawai yang memohon reman tanpa asas dan yang terlibat dengan kehilangan paksa.

Ketika ditanya mengapa isu sedemikian tidak mencetuskan respons di kalangan orang awam, beliau menyatakan kekecewaan berkenaan kurangnya perhatian media dalam pelabgai inkues berkenaan kematian dalam tahanan.

Josiah pula berkata mereka perlu menganggap media dan orang awam sebagai sekutu dalam usaha menubuhkan IPCMC.

Beliau membangkitkan aktivis hak asasi wanita yang menggesa untuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bertahun sebelum ia diwartakan, dengan berkata media memainkan peranan dalam mengubah pandangan awam.

"Media laporkan berita dan artikel, bukan sekali saja, dan kolum yang menggesa keperluan Akta Keganasan Rumah Tangga.

"Saya menggesa media hari ini yang mereka perlu menyiarkan laporan berkenaan mereka yang kehilangan nyawa...Mengapa suruhanjaya polis bebas akan bekerja untuk mereka dan pada masa sama membantu polis," katanya.

Justeru, katanya lagi, mereka perlu membawa isu IPCMC sama seperti isu pengundi dan rakyat.

"Orang yang memegang kuasa biasanya mendengar kemahuan pengundi. Harapnya, ramai pengundi akan menggesa untuk penubuhan IPCMC," katanya lagi.

Tujuan penubuhan suruhanjaya itu adalah untuk meningkatkan integriti dalam pasukan polis, menyiasat laporan salah laku terhadap polis dan merangka mekanisme untuk mengesan, menyiasat dan mengelakkan salah laku.

Ia juga untuk menasihati kerajaan berkenaan tindakan wajar yang perlu diambil - termasuk dari segi perundangan - untuk meningkatkan integriti polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS