Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri PH tak akan dibubar sebelum tamat penggal
Diterbitkan:  Jul 6, 2020 2:39 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Negeri-negeri yang ditadbir PH tidak akan turut serta dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sebelum tamat penggal ini, kata Majlis Presiden PH hari ini.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat majlis itu hari ini, yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis itu berkata, PH konsisten dengan pendirian bahawa fokus kerajaan persekutuan dan negeri adalah untuk membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

"Justeru, kami berpandangan jika berlaku pilihan raya umum tergempar sebelum tamat tempoh tiga tahun, maka kerajaan negeri yang ditadbir PH sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Azmin Ali dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, pilihan raya umum boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

Azmin berkata ini kerana kerajaan telah berjaya menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.

PH kini mentadbir tiga negeri, iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala sekutunya Warisan mentadbir Sabah.

Selepas PRU14, mereka mentadbir keseluruhan lapan negeri selepas "Langkah Sheraton" pada akhir Februari lalu turut membawa kepada pertukaran kerajaan di Kedah, Melaka, Perak dan Kedah.

Dalam isu berasingan, Majlis Presiden PH turut memutuskan untuk menolak usul yang difailkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusuf dan timbalannya Nga Kor Ming.

Ia menegaskan lagi kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat PH berkenaan penolakan usul itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS