Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Isu pendaftaran secara rasmi Perikatan Nasional (PN) masih dibincangkan part-parti dalam kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini.

Beliau yang juga setiausaha agung Bersatu memberitahu pendaftaran entiti tersebut akan dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, prosedur dan perlembagaan parti komponen PN menyebabkan pendaftaran pertubuhan itu memerlukan masa lebih lama untuk dilakukan.

"Itu (pendafatran PN) adalah sesuatu yang sedang kita bincang.

"Saya maklumkan perancangan memerlukan kerjasama daripada semua parti yang masing-masing mempunyai perlembagaan dan prosedur sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan dua kapal peronda kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Kelang, Selangor hari ini.

PN merupakan gabungan tidak rasmi tertubuh apabila Bersatu bersama BN, PAS, Gagasan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menumbangkan PH pada Feb lalu.

Bagaimanapun beberapa pemimpin kanan Umno membangkitkan isu keabsahan PN kerana ia pertubuhan yang tidak didaftarkan.

Pada masa sama Umno juga menegaskan iltizam mereka memperkukuhkan Muafakat Nasional yang melibatkan parti itu dan PAS.

Tiada tempoh ditetapkan

Untuk rekod Hamzah merupakan ahli parlimen Larut yang memenangi kawasan berkenaan atas tiket Umno namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas PRU ke-14.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kemudian melantik Hamzah sebagai setiausaha agung parti itu ekoran krisis dalaman yang menyaksikan pengerusi mereka, Dr Mahathir Mohamad, disingkirkan.

Hamzah juga dilantik sebagai menteri dalam negeri. Untuk rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan berada di bawah kementerian berkenaan.

Menurut Hamzah Bersatu berharap semua parti dalam PN dalam menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah gabungan tersebut meletakkan sebarang tempoh masa tertentu untuk mendaftarkan PN secara rasmi.

Terdahulu beliau menyaksikan APMM menerima kapal peronda generasi baru (NGPC) iaitu Kapal Maritim Tok Bali dan Kapal Maritim Kota Kinabalu.

Penerimaan dua kapal itu sebahagian daripada enam kapal NGPC melibatkan kos hampir RM400 juta yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Destination Marine Service Sdn Bhd.

"Sebanyak lima daripada enam kapal teah diterima APMM, manakala kapal keenam masih di dalam proses pembinaan," kata Hamzah.

Tambahnya, KM Kota Kinabalu akan ditempatkan di Kuching Sarawak dan KM Tok Bali ditempatkan di Tok Bali, Kelantan sebagai usaha membanteras kesalahan-kesalahan dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) terutamanya isu pencerobohan bot nelayan asing di Laut China Selatan.

"Penyerahan dua buah kapal ini adalah untuk memperkasakan lagi tahap keselamatan perairaan negara kita. Untuk makluman, dalam tempoh PKP sebanyak 108 bot nelayan telah diusir dari perairan negara.

"Daripada jumlah itu, 88 adalah not nelayan dari Vietnam. Ada yang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS