mk-logo
Berita
Covid-19: Tiada isu diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin - Dr Adham
Diterbitkan:  Jul 5, 2020 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Kerajaan menyangkal laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata dakwaan itu tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan PKP untuk menyelamatkan orang ramai daripada Covid-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.

“Laporan Al Jazeera yang menyebut berlaku diskriminasi adalah satu tuduhan yang tidak betul. 

"Menyelamatkan warganegara atau bukan warganegara merupakan satu tindakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) bagi menangani wabak Covid-19.

“Jadi, kita perlu pastikan semua yang dikesan dapat disaring dan diasingkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan pelitup separuh muka dan sabun antiseptik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab di Kota Tinggi hari ini.

Menteri kanan akan perbetul

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 20.25 minit yang mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani Covid-19.

Ketika ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap agensi berita itu, Dr Adham berkata kerajaan akan memperbetulkan persepsi tersebut melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

“Kita perlu perbetulkan melalui jurucakap iaitu Datuk Seri Ismail Sabri sebagai jurucakap kerajaan yang mengetuai mesyuarat menteri-menteri mengenai Covid-19,” katanya.

Diminta mengulas laporan forensik mengenai kebakaran di Wad Perubatan Perempuan 1, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 28 Jun lepas, Dr Adham berkata pihaknya masih menunggu laporan berhubung perkara itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Bagaimanapun, ketika lawatannya ke hospital itu minggu lepas beliau dimaklumkan bahawa kebakaran tersebut berlaku disebabkan masalah pendawaian di salah satu panel di wad berkenaan.

“Kita akan dapatkan laporan dalam masa terdekat. Ia perlukan masa kerana laporan forensik lebih tepat,” katanya.

- Bernama 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS