Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sedia buat pilihan raya bila-bila masa, kata Azmin
Diterbitkan:  Jul 5, 2020 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah cukup kriteria untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bila-bila masa, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Azmin berkata ini kerana kerajaan telah berjaya menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.

PRU boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan, kata Azmin lagi ketika acara makan malam di Johor Bahru semalam, seperti dipetik Sin Chew Daily.

Beliau berkata penting untuk semua parti bersedia dan bersatu untuk menghadapi pilihan raya tersebut.

Menurut Azmin, pentadbiran PH selama 22 bulan gagal menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat, yang menurutnya kini cuba diperbetulkan PN.

"Kami tidak menghancurkan negara. Kerajaan akan menjaga kebajikan semua rakyat dan kita akan terus menarik pelaburan langsung asing untuk memastikan kemakmuran negara," katanya.

Katanya lagi, walaupun Malaysia terjejas teruk akibat kemerosotan ekonomi ekoran wabak Covid-19, keadaan dalam negara telah bertambah baik selepas pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Beliau juga mengkritik Dr Mahathir Mohamad dan PH kerana gagal menyelesaikan kebuntuan berhubung calon perdana menteri.

Bulan lalu, akhbar Singapura The Straits Times melaporkan Muhyiddin sedang bersedia untuk mengadakan pilihan raya mengejut akhir tahun ini selepas pembentangan "belanjawan pilihan raya".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS