Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan pandang rendah pengaruh Azmin di Selangor, kata pemerhati

Meskipun sudah tidak lagi bersama PKR, pengaruh bekas timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali terhadap akar umbi parti tidak harus dipandang rendah.

Kata pemerhati politik B Anbumani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mempunyai pengalaman luas dalam sepak terajang politik, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya sebagai menteri besar Selangor memberikan ruang untuk mengumpul sokongan kuat di peringkat akar umbi.

“Peranan Azmin ni cukup halus. Kita tak boleh nafikan dia begitu saja. Kerana dia ini satu karakter politik yang kita perlu pandang pada masa akan datang. Dia ini memang pemain utama.

“[...] Jadi, Azmin, jangan pandang rendah (underestimate) dia punya pengalaman politik. Dia lain sikit. Dia tak ke depan, dia sentiasa ke belakang, di sebalik tabir,” kata Anbumani ketika dihubungi baru-baru ini.

Memberikan senario pemecatan pemimpin dan ahli PKR yang dilihat menyokong Azmin, Anbumani tidak menolak Azmin sedang menyusun gerakan sendiri bagi mengumpul penyokong-penyokongnya, malah menjangkakan satu kejutan politik di Selangor.

Lebih-lebih lagi, katanya, PKR kelihatan seolah-olah diketepikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam soal calon perdana menteri yang membabitkan presiden parti Anwar Ibrahim, sedangkan akar umbi sedang memerhatikan situasi yang berlaku di peringkat pusat.

“Dia (Azmin) punya alternatif memang sudah ada, cuma dia belum umumkan lagi. Dia tengah tunggu masa yang sesuai untuk umumkan.

“Saya jangka dia akan buat satu parti baru berbilang bangsa, jadi satu gabungan yang lebih kuat, yang lebih mesra semua rakyat Malaysia. Macam PKR 2.0,” katanya lagi.

Azmin menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018 - selepas kejayaan PH menumbangkan BN pada PUR-14 - namun melepaskan jawatan selepas dilantik menjadi menteri dalam pentadbiran Mahathir.

Konflik dalaman PKR memuncak dalam pemilihan parti itu pada 2018, yang menyaksikan Azmin bersaing dengan Rafizi Ramli yang dilihat dekat dengan Anwar bagi jawatan timbalan presiden. Pemilihan itu dimenangi Azmin.

Azmin kemudian dikaitkan sebagai antara dalang Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH apabila dia dan sekumpulan penyokongnya bersama Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Mereka kemudian bekerjasama dengan BN, PAS untuk menubuhkan PN.

Di bawah pentadbiran PN yang diterajui presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Azmin dilantik menjadi menteri kanan.

Kelebihan Azmin

Bagi penganalisis politik Dr Jeniri Amir, dari satu segi, pemecatan penyokong-penyokong Azmin dalam PKR dilihat usaha untuk menghapuskan pengaruhnya di dalam parti, namun dari satu segi lagi, ia bukan saja menjejaskan imej PKR, tetapi juga membangkitkan kemarahan akar umbi.

“Kita tak boleh memperkecil keupayaan Azmin untuk menggerakkan jentera akar umbi dan memberi gugatan terhadap PKR yang memihak kepada Anwar.

“Orang masih lagi ingat akan jasa dan sumbangan beliau ketika menjadi menteri besar Selangor dulu. Itu kita tak harus tolak ketepi saja. Sebab beliau sudah punya track record, dan sekarang menjadi menteri kanan dalam kabinet PN.

“Jadi kelebihan-kelebihan itu dari segi rekod, jentera akar umbi dan sebagai pemimpin di peringkat persekutuan, memberi kelebihan kepada beliau berbanding yang lain,” katanya.

Pemerhati politik Hishamuddin Rais turut berasakan bahawa pengaruh Azmin masih berbekas buat rakyat Selangor dan akar umbi PKR negeri itu ekoran perkhidmatannya sebagai menteri besar di situ.

Malah, tindakan yang dikenakan ke atas ahli PKR yang dilihat menyokongnya juga menunjukkan bahawa Azmin masih masih mempunyai pengaruh kuat dalam PKR.

“Ada beberapa ratus orang yang digantung, diberi surat amaran oleh pemimpin PKR, dan beberapa cabang di Sabah dan Sarawak telah dibubarkan.

“Orang-orang ini hendak ke mana perginya? Mereka menjadi orang tak berumahlah, tidak berparti. Jadi, ini saya rasa, pasti pemimpin-pemimpin (yang menyokong Azmin) sedang membincangkan ke mana (hala tuju),” katanya ketika dihubungi semalam.

PKR sebelum ini mengesahkan memecat lima pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin, iaitu Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah Rahimah Majid dan dua Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) serta Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Beberapa daripada mereka menerajui NGO, seperti Pemuda Negara yang diketuai Afif, dan Nation of Women yang diketuai Haniza, manakala satu lagi NGO, Penggerak Komuniti Negara dinaungi bekas naib presiden PKR merangkap Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan Zuraida Kamaruddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS