Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Patung Francis Light di Fort Cornwallis disimbah cat merah
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian patung Kapten Francis Light yang terletak di Fort Cornwallis di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, di George Town disimbah cat merah dipercayai kerana protes oleh pihak tertentu seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya menerima laporan daripada pengurus operasi di Fort Cornwallis, yang turut menjaga serta mengurus patung tersebut pada Selasa, selepas lelaki berusia 25 tahun itu mendapati ia disimbah cat warna merah.

"Lelaki itu tidak pasti siapakah yang melakukan perbuatan itu dan dia juga tidak mengesyaki sesiapa kerana tidak pernah mempunyai musuh atau berselisih faham dengan sesiapa.

"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu namun ia tidak menjurus kepada patung tersebut," katanya dalam kenyataan di George Town hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian simbah cat merah pada patung Kapten Francis Light itu mempunyai kaitan dengan kejadian yang berlaku di beberapa negara lain untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa tokoh asing semasa perang dunia pertama berikutan mengamalkan sistem hamba serta kolonial.

"Semakan di internet juga mendapati terdapat kes simbah cat pada patung George Washington Statue di New York pada 29 Jun dan patung Hubert Lyautey di Perancis pada 22 Jun serta patung Christopher Columbus di Massachusetts pada 24 Jun," katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Insp Nurul Syaheera Hussin di talian 04-2282222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS