Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita bergelar 'Datin' ditahan kes tipu pelaburan Bitcoin RM388,090 

Seorang ahli perniagaan wanita bergelar 'Datin' ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan pelaburan Bitcoin membabitkan kerugian RM388,090 di Bukit Jambul, Pulau Pinang, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, ACP Mohd Rosni Mohd Lazim berkata wanita berumur 39 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung urusan pelaburan terbabit oleh seorang lelaki yang menjadi mangsa kegiatan itu.

"Menurut lelaki itu, dia menyertai pelaburan Bitcoin selepas wanita berkenaan yang juga kenalannya menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 30 peratus sebulan dan mangsa mula melabur sejak Jun 2016.

"Mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM388,090 secara berperingkat ke akaun milik wanita itu, namun lelaki tersebut tidak mendapat keuntungan seperti yang dijanjikan dan membuat laporan polis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2003 kerana menerima deposit haram.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut menjadi mangsa wanita itu dan beliau turut meminta kerjasama orang yang pernah ditipu berhubung pelaburan tersebut agar tampil di balai polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS