Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
G25 pula lobi kekalkan jawatan Ariff, Kor Ming
Diterbitkan:  Jul 3, 2020 1:09 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25, menyokong gesaan Bersih agar speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming dikekalkan jawatan mereka di Parlimen.

Ini selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghantar usul untuk menggantikan Ariff dan Nga, pada hari pertama sidang parlimen 13 Julai 2020 nanti.

“Tak ada asas munasabah untuk Ariff disingkirkan daripada jawatan speaker.

“Sepanjang memegang jawatan, Ariff memastikan integritinya sebagai speaker dan menjalankan tanggungjawab tanpa melebihkan mana-mana pihak,” kata G25 dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah mereka, turut bimbang bahawa parlimen tidak lagi berfungsi sebagaimana sepatutnya, bagi memastikan sistem semak dan imbang akan terus kukuh.

Ariff, kata mereka lagi, telah bekerja keras untuk memperkenalkan pembaharuan bagi memperkukuh peranan parlimen dalam memantau fungsi kerajaan dan para menteri.

Kata mereka, menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang bagus tanpa alasan yang munasabah sebelum tamat tempoh perkhidmatan mereka, akan mencemarkan kesucian proses pelantikan.

Ia juga akan mengganggu perkembangan kerja dan menyebabkan pembaziran sumber yang sudah diperuntukkan untuk menguat kuasa dan melaksanakan polisi berkaitan.

“Yang paling baik, adalah untuk ahli-ahli parlimen menolak usul seumpama itu memandangkan rakyat mungkin akan mempersoalkan motif mereka yang menyokong penyingkiran seseorang yang layak dan dihormati, tanpa alasan yang munasabah.

“Kami dengan ini, menggesa semua ahli parlimen untuk mempertimbangkan semula sokongan mereka terhadap usul ini dan ingatlah, dalam pilihan raya akan datang, rakyat Malaysia tidak akan lupa siapa yang buat keputusan demi kepentingan terbaik negara, dan siapa yang tidak,” kata mereka.

Sebelum ini, pada 30 Jun, Bersih melancarkan kempen bagi mengekalkan Ariff sebagai speaker Dewan Rakyat.

Mereka menggesa orang ramai menandatangani petisyen dalam talian bagi memastikan Ariff kekal dengan jawatannya.

Muhyiddin menghantar usul untuk menggantikan Ariff dan Nga pada 26 Jun, yang dijangka dibentangkan ketika sidang parlimen yang bermula 13 Julai.

Seorang lagi timbalan speaker, Mohd Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat, tidak terkesan dengan usul berkenaan.

Ariff berkata pejabatnya telah menerima kedua-dua usul itu untuk diperdebatkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS