Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasar malam di Kelantan akan operasi minggu depan

Kerajaan Kelantan dijangka akan membenarkan pengoperasian pasar malam di seluruh negeri itu bermula minggu depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, apa yang menjadi halangan pada masa ini adalah berkait prosedur operasi standard (SOP) penjarakan antara gerai yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, SOP yang ditetapkan di peringkat pusat mengkehendaki jarak antara kedai sejauh lapan kaki persegi dan ia akan menghadkan ruang serta jumlah gerai yang boleh beroperasi.

"Justeru kita sudah memohon kepada kepada pusat supaya SOP itu ditiadakan. Insya-Allah kita akan dapat keputusan dalam masa segera.

"Kita jangkakan semua pasar malam di Kelantan akan beroperasi minggu depan tetapi SOP lain yang ditetapkan mesti dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung," katanya kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa keselamatan (khas) negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut Izani berkata, kerajaan negeri sangat memahami keperluan khusus kepada peniaga untuk memulakan perniagaan masing-masing, namun pertimbangan sewajarnya perlu dititikberatkan bagi memastikan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dipatuhi.

"Kita beranggap jarak antara gerai itu boleh dilonggarkan seperti mana SOP di pasar basah. Jika kita teruskan dengan SOP sekarang tidak banyak gerai yang boleh dibuka kerana ruang menjadi terhad.

"Insya-Allah kita akan pastikan pasar malam beroperasi minggu depan di seluruh kawasan," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, pihaknya juga bersetuju untuk membenarkan kedai makan atau restoran beroperasi sehingga 11.30 malam berbanding had sehingga 10.30 malam sebelum ini.

"Bagi restoran, kedai makan atau food truck kita tambah masa operasi satu jam iaitu sehingga 11.30 malam, kecuali pasar raya melibatkan waktu 10 pagi hingga 10 malam.

"Selain itu kita juga membenarkan operasi stesen minyak sehingga jam 12 malam. Bagi pengusaha stesen minyak yang mahu beroperasi 24 jam mereka boleh membuat permohanan untuk dipertimbangkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS