Paling Popular
Terkini

Seorang bapa Mohd Nazri Mohamed Yusuf, 42, tampil memohon kepastian tentang punca sebenar kematian anaknya yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada Julai 2016.

Bapa kepada kanak-kanak malang itu, Wan Naufal Afeef berkata, anaknya meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Shah Alam kira-kira tiga tahun lalu pada hari yang dia dibenarkan keluar hospital.

Sehingga kini punca sebenar kematian anaknya masih menjadi tanda tanya selain belum mendapat jawapan hasil bedah siasat yang dijalankan di sebuah hospital kerajaan.

"Status kematian anak saya sampai ke hari ini masih belum ada jawapan. Apa punca kematiannya saya tidak tahu.

"Anak saya meninggal dunia pada hari dia dibenarkan keluar hospital. Selepas diberi suntikan ubat oleh pihak hospital anak saya menjadi sawan dan meninggal dunia.

"Saya telah membawa jenazah anak saya di sebuah hospital kerajaan untuk bedah siasat, namun sampai ke saat ini belum ada jawapan," katanya pada Malaysiakini.

Kata Mohd Nazri, kisah anaknya itu sebelum ini pernah mendapat liputan media.

Namun, malangnya dia dan keluarga masih belum dapat mengetahui punca sebenar kematian anaknya yang ketika itu berusia setahun lebih.

Katanya, dia bukan saja telah membuat laporan polis dan juga pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi turut bertemu menteri berkaitan sebelum ini bagi mendapat jawapan.

"Anak saya meninggal beberapa jam sebelum dibenarkan keluar hospital. Pihak hospital tulis sebab kematian anak saya itu mati mengejut.

"Namun, sehingga hari ini anak saya tiada sijil kematian dan Mykidnya pun masih dalam simpanan saya kerana punca kematian belum dapat dipastikan," katanya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan respon pihak hospital, namun masih gagal mendapat jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS