Kebanyakan yang mengikuti perkembangan politik Malaysia maklum dengan senarai yang didakwa merupakan agihan kerusi bagi Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dokumen berlabel 'sulit' dalam format PDF yang mempunyai 13 halaman dan dikarang oleh seseorang bernama "KGE" itu menamakan 194 "calon PN" yang tidak melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Senarai itu disertakan dengan catatan yang menggariskan alasan di sebalik keputusan pencalonan tertentu dan hasil dari perundingan antara pihak terlibat.
Pemimpin tertinggi Umno dan PAS yang dihubungi Malaysiakini menyifatkan dokumen itu sebagai "palsu", dan kemungkinan ia demikian. Bahagian pertama artikel ini akan menjelaskan perkara itu.
Mereka memberitahu Malaysiakini bahawa senarai itu adalah rekaan kerana rundingan antara ketiga-tiga pihak belum berlangsung.
Umno dan PAS kini berada dalam pakatan formal yang dikenali sebagai Muafakat Nasional, yang pada masa ini turut bekerjasama dengan Bersatu. Mereka membentuk kerajaan PN pada Mac lalu.
Berdasarkan penelitian Malaysiakini, senarai "palsu" itu seperti tidak masuk akal jika dilihat ia sebagai cadangan dari perspektif Bersatu. Perkara ini akan diulas dalam bahagian kedua artikel ini.
Bagaimanapun, oleh kerana Malaysiakini percaya senarai itu palsu, senarai itu tidak akan disiarkan semula dalam artikel ini untuk mengelakkan penyebarannya.
Jumlah kerusi Umno tak masuk akal
Perkara paling ketara yang menjadikan senarai itu kelihatan mustahil adalah apabila ia menggambarkan Umno hanya akan diberi hak untuk meletakkan calon di 64 kerusi sementara Bersatu dan PAS masing-masing akan diperuntukkan 54 dan 31 kerusi.
Sekiranya senarai itu benar, ini bermaksud bahawa Umno - boleh dikatakan parti terkaya dan terbesar di negara ini dari segi keanggotaan - hanya akan meletakkan separuh daripada jumlah calon yang dimilikinya pada 2018.
Semasa pilihan raya lalu, Umno meletakkan 120 calon di parlimen, dengan 54 pemenang.
Bagi Bersatu, ia mencalonkan 52 calon, 13 daripadanya menang manakala PAS bertanding di 154 kerusi dan menang 18 kerusi.
Fakta lain yang menjadikan "senarai" itu kelihatan mustahil adalah cadangan bahawa sebilangan besar anggota kanan Umno, termasuk Presidennya Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan sebagai calon.
Ini termasuk ahli parlimen yang memenangi kerusi mereka dengan majoriti selesa seperti Najib Razak (Pekan), Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Idris Jusoh (Besut), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mahdzir Khalid (Padang Terap), Ismail Muttalib (Maran), Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Azalina Said Othman (Penggerang).
Menurut "senarai" itu, tiga anggota parlimen Umno yang melepaskan kerusi mereka akan diberi gelaran "Tun", suatu janji yang sukar ditepati, apabila mengambil kira bahawa had maksimum 25 pemegang gelaran itu sudah diisi ketika ini.
Senarai Bersatu?
Senarai itu dilihat memberi kelebihan kepada Bersatu yang mempunyai sokongan yang tidak begitu terbukti berbanding Umno berdasarkan pilihan raya umum 2018.
Senarai itu mencadangkan bahawa Umno perlu memberi jalan kepada parti lain - kebanyakannya Bersatu - di 20 kawasan yang dimenanginya dalam pilihan raya sebelum ini.
Ini termasuk kerusi yang dimenangi Umno dengan lebih daripada 50 peratus undi pada 2018 seperti Beluran, Mersing, Masjid Tanah, Putrajaya, Rompin dan Jeli, yang dalam kata lain bermaksud Umno lebih cenderung untuk terus memegang kerusi itu tanpa perlu menyerahkannya kepada Bersatu.
Sebaliknya, senarai itu menunjukkan bahawa Bersatu hanya harus menyerahkan tiga kerusi yang dimenanginya pada 2018 - Kubang Pasu, Muar dan Simpang Renggam - kepada Umno.
Sebarai itu juga menunjukkan bahawa Umno tidak berhasrat untuk merampas semula kerusi yang dimenangi calonnya pada tahun 2018, sebelum mereka menyertai Bersatu.
Kerusi ini adalah Jeli, Bagan Serai, Bukit Gantang, Masjid Tanah, Beluran, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Larut, Sabak Bernam, Mersing, Kudat, Beufort, Libaran dan Sipitang.
Dengan mengambil kira situasi di atas, senarai itu lebih kelihatan sebagai senarai yang diharapkan Bersatu.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa "senarai" itu kemungkinan besar palsu. Namun, apa yang dapat diperhatikan dari senarai itu adalah beberapa faktor yang mungkin dipertimbangkan ketika perundingan kerusi PN berlangsung.
Pada masa ini, terdapat dua blok utama yang membentuk 80 peratus kerajaan PN iaitu Muafakat Nasional (Umno dan PAS) yang mempunyai 59 kerusi dan Bersatu yang mempunyai 32 kerusi.
Di atas kertas, Umno, PAS dan Bersatu semuanya bersaing untuk parlimen yang sama - kawasan Melayu Muslim - tetapi senarai itu mengambil pendekatan pengagihan kerusi berdasarkan negeri.
Senarai "palsu" itu menunjukkan bahawa Umno akan diperuntukkan lebih banyak kerusi di Negeri Sembilan, Johor dan Pahang sementara Bersatu diperuntukkan lebih banyak kerusi di Perak, Selangor dan Sabah.
Kerusi PAS kebanyakannya tertumpu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Senarai "palsu" itu juga seperti mengambil pertimbangan kerusi yang dimenangi Umno dengan kurang daripada 50 peratus undi sebagai asas untuk menyerahkan 14 kerusi, kebanyakannya kepada Bersatu.
Umno, PAS dan Bersatu bersaing sesama sendiri semasa pilihan raya umum 2018, menyebabkan banyak calon menang dengan majoriti kecil.
Umno dilihat tidak mungkin akan bersetuju dengan agihan kerusi seperti digambarkan senarai itu, kerana antara lain ia boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbinya yang mahu Umno kembali sebagai parti dominan.
Bagaimanapun, senarai itu memberi gambaran kerumitan dinamik antara Umno, PAS dan Bersatu dalam gabungan PN untuk berdepan PRU15.