Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adakah seni berdasarkan jata negara salah?
Diterbitkan:  Jul 1, 2020 4:30 PM
Dikemaskini: 8:50 AM


Polis sedang menyiasat dakwaan sebuah buku menghina jata negara susulan karya grafik kulit depannya.

Soalan yang timbul, adakah sesuatu karya seni itu boleh dibuat berdasarkan atau berilhamkan simbol rasmi itu.

Perkara berkaitan sebenarnya disentuh dalam Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, seperti berikut:

3. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis menteri —

(a) mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion;

(b) mengguna bagi maksud, atau memperagakan sebagai suatu iklan bagi, apa-apa perniagaan, perdagangan, pekerjaan atau profesion, atau menjual, apa-apa fotograf, lukisan atau rupaan lain gambar Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong;

(c) mengguna atau terus mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk; atau

(d) membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata.

Bagaimanapun, apa pendapat peguam?

Mohamed Haniff Khatri Abdulla:

Seksyen 3(1)(a) akta itu menyebut ia tidak boleh digunakan untuk tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.

Seniman boleh dikategorikan sebagai profesion. Justeru karya mereka terangkum. Ini termasuk sama ada seniman itu menggunakan atau mengubah suai jata negara.

Seksyen 268 Kanun Keseksaan berkaitan mudarat awam juga boleh diguna pakai.

Bagi mana-mana negara pun, bendera dan jata dianggap sesuatu yang suci.

Jika mana-mana pihak menggunakannnya untuk ekspresi seni, gurau-senda atau kartun berdasarkannya, ia mungkin menyinggung perasaan sesesetengah pihak.

Malah tindakan seperti mengibarkan bendera terbalik juga menjadi isu.

Hukumannya ringan. Bagaimanapun mungkin tiba masanya untuk meningkatkan hukuman bagi kes-kes sebegini.

Tidak seperti di India, tiada tanggungjawb perlembagaan bagi rakyatnya untuk menghormati lambang negara, tetapi ia tidak semestinya menjadikan perkara ini tidak penting.

Kita patut tahu mana yang betul dan mana yang salah. Jika lambang negara dijadikan karya seni, kebenaran daripada kementerian patut diperoleh terlebih dahulu.

Perkara ini berbeza dengan tindakan memaparkan gambar Najib Razak seperti badut kerana perdana menteri bukanlah simbol negara.

New Sin Yew: 

Seksyen 3 (1) Akta 414 melarang penggunaan lambang negara yang tidak wajar.

Tidak wajar dalam konteks ini bermaksud menggunakan lambang atau sebarang tiruan berwarna untuk tujuan perdagangan, perniagaan, panggilan atau profesion tanpa izin menteri, yang kemudian menjadi suatu kesalahan.

Ia tidak memperuntukkan secara khusus kesalahan untuk "menghina" atau mengubah atau menukar jata negara menjadi sesuatu yang tidak senonoh.

Sementara itu, Seksyen 3 (1) (c) terpakai ketika seseorang ingin memasukkan lambang itu ke dalam cap dagang, paten, atau reka bentuk, dalam hal ini, adalah istilah harta intelek, seperti reka bentuk industri, dan tidak termasuk gambar kulit buku .

Mengenai persoalan sekiranya penerbit menggambarkan lambang itu dengan cara yang tidak senonoh, saya rasa itu sangat subjektif. Saya tidak begitu artistik, jadi saya mungkin tidak menghargai mesej yang cuba disampaikan oleh penerbit tetapi mereka yang lebih artistik akan dapat melakukannya.

Tetapi intipatinya adalah kita tidak boleh menapis (ungkapan) orang lain hanya kerana kita mungkin tidak memahami atau setuju dengan ungkapan itu atau menangkap orang atau mendakwa mereka untuk perkara itu.

Zaid Malek, penyelaras Lawyers for Liberty:

Kita mesti memperbetulkan dakwaan yang silap bahawa kesalahan telah dilakukan. Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Benar) 1963 hanya melarang penggunaan lambang rasmi tanpa kebenaran bertulis daripada perdana menteri.

Ia tidak melarang sebarang persembahan seni yang diilhamkan daripada lambang negara seperti yang digunakan pada sampul buku itu, yang mana tidak akan ada orang yang waras yang akan silap melihat lambang itu sebagai lambang negara yang sebenarnya.

Undang-undang lain yang digunakan untuk menyiasat kes ini seperti Akta Hasutan, Seksyen 233 CMA 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah undang-undang yang sangat menindas dan anti-demokratik, yang tidak seharusnya digunakan oleh pihak berkuasa.

Undang-undang ini perlu segera dimansuhkan pada sidang parlimen yang akan datang.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS