Jelapang padi Kota Belud mengalami kerugian kira-kira RM29 juta apabila hampir keseluruhan kawasan tanaman padi seluas kira-kira 7,000 hektar itu terjejas teruk dan rosak akibat banjir susulan hujan lebat melanda Sabah pada Sabtu lepas.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla berkata anggaran kerugian itu dikira berdasarkan potensi hasil, harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi dan kos terlibat untuk penanaman padi itu.
“Berdasarkan pandangan udara, kami mendapati keseluruhan kawasan iaitu kira-kira 7,000 hektar tanaman padi terjejas. Jika dikira secara keseluruhan boleh dianggarkan kerugian dalam RM29 juta,” katanya kepada Bernama.
Pada Sabtu, hujan lebat berterusan telah mengakibatkan 11 daerah yang melibatkan 152 kampung di Sabah terjejas akibat banjir termasuk Kota Belud, Tenom, Beaufort, Papar, Tuaran dan Penampang.
Mengulas lanjut, Salmah berkata, hampir separuh kawasan tanaman padi di Kota Belud sedang menunggu hari untuk dituai, namun, disebabkan banjir beserta air deras melimpah telah menyebabkan kesemua padi disaluti lumpur dan berisiko rosak.
“Padi ini berbuah cantik, namun, ia belum betul-betul matang. Keadaan banjir mengakibatkan pokok padi rebah, bersalut lumpur dan sukar untuk dituai selain rosak. Inilah kerugian dialami para petani,” katanya.
Salmah berkata pihaknya turut memberi perhatian kepada kira-kira 3,000 petani terjejas menerusi program bantuan bencana bagi meringankan beban kos ditanggung sepanjang tempoh penjagaan tanaman padi mereka.
Beliau berkata, bantuan itu akan diberikan berdasarkan umur tanaman padi iaitu kurang 70 hari, setiap pesawah menerima RM800 per hektar dengan bantuan diberikan maksimum bagi tiga hektar tanaman.
Bagi umur tanaman padi lebih 70 hari, setiap pesawah akan menerima RM1,600 per hektar, dengan bantuan diberikan maksimum untuk tiga hektar, katanya.
“Jumlah keseluruhan bantuan diberikan kepada pesawah yang mengalami kerosakan tanaman padi ketika banjir baru-baru ini dianggarkan lebih RM4 juta,” kata Salmah yang turut membuat tinjauan di kawasan tanaman padi terjejas di Kampung Labuan dan Kampung Tawadakan di sini.
Dalam pada itu, Salmah berkata, beberapa pendekatan perlu diambil bagi memastikan masalah sama tidak berulang termasuk melihat keperluan pembinaan empangan bagi mengawal paras air sebagai antara perancangan masa hadapan, selain mendalamkan lagi sungai-sungai cetek di Kota Belud.
“Sekarang kita masih ada projek pembangunan infrastruktur yang sedang berjalan dan diharapkan ia dapat memudahkan sistem saliran di Kota Belud dan projek ini akan dilanjutkan sehingga Rancangan Malaysia Ke-12.
“Saya berharap para petani terus bersabar dan jangan patah semangat atas ujian ini. Program peningkatan hasil akan terus berjalan dan IADA akan terus berusaha membantu para petani,” katanya.
Sementara itu, beberapa pesawah ditemui Bernama melahirkan perasaan sedih selepas melihat tanaman padi mereka yang sepatutnya membuahkan hasil dalam beberapa hari sahaja lagi musnah akibat banjir.
Seorang pesawah Perin Rahil berkata, tanaman padi seluas dua hektar diusahakannya rosak dan kerugian dialaminya bernilai RM11,000 termasuk kos peralatan penjagaan tanaman, sekali gus menjejaskan pendapatan serta sumber ekonominya bagi menampung keluarga.
Bagi Amran Sibin, bantuan daripada pihak kerajaan amat diharapkan bagi meringankan beban para pesawah di Kota Belud yang mengalami kerugian besar akibat tanaman padi rosak.
Seorang lagi pesawah, Makdin Umpong yang akan menuai padi dalam seminggu ini turut berasa sedih kerana padi yang telah diusahakannya selama tiga bulan tidak berhasil kerana rosak akibat banjir itu, namun beliau pasrah kerana ia sesuatu di luar jangkaan.
- Bernama