Presiden PKR Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau sedang merancang kerjasama dengan "beberapa watak pengkhianat".
"Saya ingin merujuk dan menjawab tohmahan segelintir kumpulan kononnya saya sedang merencana dengan beberapa watak pengkhianat.
"Ingin saya tegaskan ia ternyata helah kelompok yang kemaruk kuasa. Fitnah akan dijadikan dalih dan alasan mereka bertapak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar juga mengulang kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak membuat komplot di belakang seperti "sesetengah pihak lain".
Semalam, DAP dan Amanah dalam satu kenyataan bersama berkata mereka menolak sebarang perjanjian, atau usaha membuat perjanjian, dengan mereka yang terlibat dalam 'Langkah Sheraton', yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH.
Mereka yang dimaksudkan ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Perdangan Atarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
"Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton. Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip," katanya.
Selepas itu, dua anggota Parlimen PKR R Sivarasa dan Maria Chin Abdullah menyuarakan sokongan terhadap gesaan itu.
Sebelum itu, Anwar mengakui ada bertemu dengan Hamzah tetapi berkata hanya membincangkan hal semasa dan perkara berkaitan Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pada itu, Anwar berkata apa-apa komplot tidak pernah dibincangkan dalam PKR atau PH serta tidak dibangkitkan ketika bertemu dengan Hamzah dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
"Maka saya membantah sekerasnya dakwaan tersebut," katanya lagi.
PH dan sekutunya, Warisan dan beka anggota Parlimen Bersatu, dalam usaha untuk merampas semula kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN) tetapi kini berdepan kebuntuan antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad dalam soal calon perdana menteri.