Bersatu yang diketuai presidennya, Muhyiddin Yassin akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti itu pada 27 Sept selepas ditangguhkan berikutan wabak Covid- 19.
Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainuddin mengumumkan tarikh berkenaan hari ini, walaupun tindakan undang-undang diambil terhadap parti berkenaan oleh pengerusinya yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agungnya yang dipertikaikan Marzuki Yahaya dan empat yang lain selepas keanggotaan mereka digugurkan.
Pemilihan parti, persidangan cawangan dan AGM parti itu ditangguhkan setelah Pendaftar Pertubuhan (ROS) menangguhkan semua aktiviti semua organisasi hingga 30 Jun akibat wabak Covid-19.
AGM itu pada mulanya dijadualkan diadakan pada 15 hingga 28 Jun.
Dalam satu kenyataan, Hamzah berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam memutuskan persidangan cawangan akan bersambung semula dari 10 Julai hingga 26 Julai.
Sementara itu, persidangan bahagian akan bermula pada 22 Ogos, persidangan Armada bahagian pada 15 Ogos dan persidangan Srikandi bahagian pada 16 Ogos.
"Sehubungan dengan itu, Perhimpunan Agung Tahunan akan berlangsung pada 27 September 2020 (Ahad) manakala Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi pula adalah pada 26 September 2020 (Sabtu).
Dilaporkan awal bulan ini bahawa Mahathir, Marzuki Yahya, timbalan presiden parti itu yang dipertikaikan, Mukhriz Mahathir, ketua pemuda yang dipertikaikan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta anggota majlis tertinggi yang dipertikaikan Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah telah mengemukakan tindakan undang-undang berhubung penamatan keahlian mereka.
Berikutan itu mereka juga memfailkan permohonan injuksi sementara untuk mengekalkan keahlian mereka sementara menunggu tindakan undang-undang berkaitan penyingkiran daripada parti itu.
Mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa mereka masih anggota Bersatu yang sah dan memegang jawatan asal dalam parti.
Sebagai tindak balas, Muhyiddin, yang juga perdana menteri, dan beberapa pemimpin Bersatu lain mengemukakan permohonan untuk mengenepikan saman yang mencabar pemecatan berkenaan.