Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat amaran: Tian Chua enggan ulas, Ginie Lim belum terima

Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini enggan mengulas berhubung dakwaan beliau telah menerima amaran bertulis daripada parti itu.

Terdahulu hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan lima anggota parti, iaitu Ketua Wanita Haniza Talha, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria, Ketua Wanita Sabah Rahimah Majid dan dua Adun Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) serta Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Beliau juga berkata amaran bertulis telah dikeluarkan kepada Tian, Adun Machap Jaya Ginie Lim dan Ketua Penerangan Wanita Pulau Pinang Carolyn Khor.

Ahmad tidak menyatakan sebab amaran bertulis itu dikeluarkan.

Tian, yang telah bersama parti itu sejak 1999 dan dikenali dengan penglibatannya dalam Reformasi adalah penyokong kuat presiden parti Anwar Ibrahim. Bagaimanapun sejak beberapa tahun ini, beliau dipercayai berpihak kepada Azmin Ali, yang telah keluar PKR pada Februari lalu.

Lim pula ketika dihubungi berkata beliau belum menerima surat amaran tersebut dan tidak tahu apa yang menyebabkan dirinya dikenakan tindakan disiplin.

"Kebebasan berfikir, bersuara, berpersatuan dan berhimpun jelas dinyatakan sebagai satu daripada lima prinsip dalam perlembagaan parti dan saya yakin telah menegakkan perlembagaan parti dalam tindakan dan kenyataan saya," katanya yang merupakan ketua Wanita PKR Melaka kepada Malaysiakini.

Ginie Lim

Mengulas berkenaan tindakan disiplin terhadap sejumlah anggota PKR mutakhir ini Lim berkata sering kali beban pembuktian diletakkan kepada tertuduh dan ramai tidak diberi pendengaran sebelum digantung.

Beliau menggesa pemimpin parti untuk bersatu dan berusaha dalam mengembalikan mandat rakyat serta mengalihkan pandangan mereka terhadap pihak yang "merompak negara".

'Kecenderungan Pengawal Merah'

"Saya juga menyuarakan isu ini kepada kepimpinan parti, untuk mengingatkan jika kecenderungan 'Pengawal Merah' ini berterusan, ia akhirnya hanya menjejaskan parti," katanya yang juga anggota Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR.

'Pengawal Merah' adalah kumpulan pelajar militan ketika Revolusi Kebudayaan China yang menghukum kalangan yang dianggap sebagai tidak bersetuju dengan Mao Zedong dan Komunisme.

Sejak kejatuhan kerajaan PH pada Februari lalu, PKR telah mengambil tindakan terhadap pemimpin dan anggota yang dikaitkan dengan Azmin.

Tian dan Lim sebahagian daripada kem Azmin ketika pemilihan PKR pada 2018.

NGO baru tak berkaitan dengan PKR

Sementara itu, Chua berkata NGO baru 'berorientasikan aktivisme' yang dibentuknya bukanlah ekoran tindakan disiplin terhadapnya.

"Ia isu berbeza. Tidak berkaitan dengan parti," katanya.

Beliau juga tidak memberi jawapan jelas berhubung sama ada masih menganggap dirinya sebagai anggota PKR atau tidak.

Berkenaan kedudukannya yang masih kekal sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) - agensi kerajaan di bawah Kementerian perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang diketuai Azmin - Chua berkata beliau tidak diminta untuk meletakkan jawatan selepas pertukaran kerajaan kerana jawatan itu tidak diberi gaji.

"Ia bukan pelantikan politik yang 'seperti selalu'. Umno tidak akan melawan hal seperti ini, ia tiada gaji...Secara umumnya tiada siapa yang peduli.

"Ia bukan lantikan politik. Saya dilantik (oleh bekas menteri Darell Leiking) berdasarkan latar belakang (dalam isu buruh)," katanya yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang Penggajian dan Pengajian Buruh daripada Institute of Social Studies di The Hague.

Katanya, MPC adalah badan yang melibatkan kerajaan, korporat dan kesatuan sekerja. Maka sebarang perubahan dalam lembaga pengurusan perlu mendapat persetujuan tiga pihak tersebut.

Baru-baru ini, satu poster yang memprompsikan acara di mana Azmin akan melancarkan Laporan Produktiviti 2020 MPC disebarkan di media sosial, mencetuskan spekulasi berkenaan kedudukan politik Tian.

Tian berkata acara itu, yang dilakukan secara dalam talian, bukanlah isu politik.

Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya jika beliau setuju dengan Azmin secara politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS