Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa bagi moratorium sewa rumah hingga Mac 2021

Jawatankuasa Beku Sewa hari ini menggesa kerajaan pusat agar mengecualikan pembayaran sewa sehingga Mac 2021 selepas ramai rakyat Malaysia masih dibelenggu isu kehilangan pekerjaan dan mata pencarian susulan pandemik Covid-19.

Menurut jawatankuasa itu, inisiatif kerajaan sebelum ini memberi pelepasan bank untuk tidak perlu membayar pinjaman rumah selama enam bulan langsung tidak membantu golongan B40.

"Kebanyakan daripada mereka menyewa rumah atas tuan rumah (M40 dan T20) yang membayar kepada bank. Justeru, pelepasan pinjaman bank hanya membantu golongan atasan iaitu pemilik rumah sahaja.

"Maka, kami menyaran kerajaan agar mengeluarkan satu tindakan segera untuk membantu menyelesaikan isu-isu pembayaran sewa rumah dalam krisis ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Jawatankuasa itu merangkumi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan 16 NGO termasuk Liga Rakyat Demokratik, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Sisters in Islam (SIS).

Antara cadangan dikemukakan oleh jawatankuasa tersebut adalah memberi pengecualian pembayaran sewa bagi rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskini (PPRT) sehingga Mac 2021.

Kata AJK PSM, R Kartiges walaupun kerajaan pusat sebelum ini mengumumkan bahawa akan memberi moratorium sehingga September 2020 kepada semua penyewa rumah PPRT, ia hanya diamalkan di kawasan perumahan Wilayah Persekutuan sahaja.

"Hampir semua negeri termasuk kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) juga tidak mengamalkan moratorium ini.

"Kami harap kerajaan pusat berbincang dengan kerajaan negeri agar mereka turut memberi pelepasan pembayaran sewa rumah PPRT," katanya.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan perlu memberi moratorium sama kepada penyewa rumah swasta atau rumah milik individu.

"Mereka (kerajaan) boleh menyediakan satu polisi, di mana sepanjang waktu krisis ini kontrak para penyewa dengan pemilik rumah tidak terpakai tapi satu polisi yang disediakan oleh kerajaan harus menggantikannya.

"Kita nampak banyak penyewa dihalau dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Jadi, ia perlu dihentikan segera. Sekurang-kurangnya polisi ini perlu digunapakai bagi yang gaji bawah RM4,000," katanya.

Sementara itu, jawatankuasa itu juga mencadangkan agar kerajaan mengembalikan Akta Rumah Sewa yang diamalkan di negara ini pada tahun 60'an.

"Kita perlu mengembalikan Akta Rumah Sewa 1966. Ia mampu mewujudkan sistem sewa rumah yang lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS