Amanah dan DAP menegaskan bahawa mereka akan menolak sebarang perjanjian atau percubaan untuk membuat perjanjian dengan mana-mana tiga pemimpin yang disifatkan sebagai dalang dalam 'Langkah Sheraton'.
Dalam kenyataan bersama hari ini, DAP dan Amanah berkata tiga pemimpin itu ialah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Menteri Perdangan Atarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.
Kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu juga menegaskan bahawa sebarang usaha untuk merebut kembali Putrajaya mesti merangkumi anggota parti asal gabungan itu, termasuk kem Dr Mahathir Mohamad dan Warisan.
"Adalah penting bagi parti-parti Pakatan Harapan Plus untuk mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar. Amanah dan DAP berpegang bahawa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu bukanlah musuh.
"Sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional (PN).
"Sebaliknya, kami berpandangan bahawa Muhyiddin, Azmin dan Hamzah yang merupakan dalang jahat merencana rampasan kuasa Langkah Sheraton demi membebaskan pemimpin Umno daripada pendakwaan rasuah dan memberi talian hayat kepada pentadbiran kleptokratik sebelum ini; yang dibantah tegas oleh rakyat Malaysia dalam PRU ke-14.
"Justeru itu, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini," kata kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub dan Naib Pengerusi DAP, S Kula Segaran.
Kenyataan itu secara spesifik menyifatkan Hamzah sebagai "konspirator utama" dalam gerakan politik yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH.
"Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton.
"Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip," katanya.
Langkah Sheraton merupakan gerakan politik pada Feb lalu yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari PH, sementara Azmin dan penyokongnya dari PKR meninggalkan parti mereka untuk membentuk kerajaan baru bersama BN, PAS GPS dan beberapa parti lain.
Kenyataan itu hadir selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini dikatakan bertemu dengan Hamzah, selain Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan pemimpin dari Sarawak dalam usaha mendapat sokongan buat PH untuk mengambil alih semula kerajaan.
PH masih belum memuktamadkan calon perdana menteri dalam usaha mengambil alih semula kerajaan susulan kebuntuan antara Mahathir dan Anwar.
Pada 25 Jun lalu, Mahathir mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin Amanah dan DAP, yang membawa kepada cadangan terbaru bagi mencalonkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, dengan Anwar dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, DAP dan Amanah berkata cadangan itu masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat PH.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, DAP dan Amanah mengingatkan agar rakan-rakan mereka maklum "siapa sebenarnya kawan dan lawan".
"Kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa kita ke arah kehancuran yang tidak terbendung," kata kenyataan itu.