Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir Sabah: Laluan kereta api Tenom-Halogilat ditutup sementara
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Perkhidmatan kereta api bagi laluan Tenom-Halogilat ditutup buat sementara waktu kerana kerosakan teruk pada landasan akibat banjir berikutan hujan lebat melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah, Leonard Poyong, ketika dihubungi Bernama, berkata operasi perkhidmatan bagi laluan berkenaan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan landasan akan dilakukan oleh kontraktor iaitu Suria Capital Holdings Berhad yang sedang melaksanakan projek menaik taraf landasan Tenom-Halogilat.

"Hari ini, perkhidmatan kereta api hanya beroperasi di sektor Beaufort-Papar-Halogilat. Perkhidmatan kereta api bagi sektor Kota Kinabalu-Beaufort tergendala pagi tadi dan akan dipulihkan selepas banjir di Kinarut beransur pulih serta landasan selamat untuk dilalui," katanya hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah, Datuk Donald Hanapi berkata operasi pengusaha bas ekspres di negeri ini tidak menghadapi sebarang masalah dan berjalan seperti biasa setakat ini.

Bagaimanapun, Donald berkata, pihaknya turut bimbang sekiranya berlaku tanah runtuh di kawasan-kawasan berbukit memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Jika ada tanah runtuh, pemandu bas akan membuat lencongan dengan melalui mana-mana laluan alternatif," katanya.

Ekoran hujan lebat semalam, sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas oleh banjir iaitu Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS