PRK CHINI | Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ketandusan isu apabila terus memainkan masalah rakyat yang telah diambil tindakan penyelesaian oleh kerajaan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata mereka dilihat terus memainkan isu perumahan generasi kedua peneroka Felda dan masalah air di kawasan DUN Chini dalam kempen mereka, sedangkan ia sudah dalam proses penyelesaian.
"Calon Bebas terus memainkannya, mungkin kerana mereka ketinggalan mengenai perkembangan di negeri ini terutama di Chini.
"Mereka ketandusan modal dan idea jadi pengundi di Chini diharapkan tidak terpengaruh dengan calon seperti ini," katanya ketika mengiringi calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain dalam program lawatan mesra untuk bertemu pengundi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9.5 juta bagi menyelamatkan projek rumah generasi kedua peneroka di Felda Chini 3 di Pekan, yang terbengkalai sejak tahun 2017 akibat kontraktor bermasalah.
Felda juga dilaporkan sedang berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 71 lagi rumah, bagi memastikan rancangan asal membina 100 unit rumah generasi kedua di Felda Chini 3 dapat dilaksanakan.
Dilaporkan juga sebelum ini, gangguan bekalan air di sekitar Gugusan Felda Chini dijangka dapat diselesaikan dengan pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan bermula September ini.
Mengenai isu Mohd Sharim, 41, yang tidak dilahirkan di Pahang pula, Pengarah Pilihan Raya PRK DUN Chini itu, Wan Rosdy berkata perkara tidak sepatutnya timbul kerana keluarga peneroka Felda memang datang ke sesebuah tanah rancangan dari seluruh negara.
"Calon ini sudah lama datang ke sini, sejak kecil lagi. Itu tidak sepatutnya jadi isu. Ini satu lagi contoh bahawa tiada isu yang boleh diketengahkan oleh mana-mana pihak termasuk calon Bebas.
"Yang penting calon ini boleh diterima oleh sebahagian besar rakyat, kalau orang itu ada dua tiga PhD (ijazah doktor falsafah) pun kalau rakyat tak terima dia, tak guna juga," katanya.
PRK DUN Chini pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.
- Bernama