Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indira Gandhi mahu jumpa IGP, hantar surat kali ketiga
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Ibu kepada Prasana Diksa, kanak-kanak perempuan yang dibawa lari ayahnya lebih sedekad lalu sekali lagi menyuarakan hasrat bertemu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai anaknya itu.

Memetik laporan The Malaysian Insight, M Indira Gandhi berkata beliau juga telah menghantar surat permohonan untuk bertemu dengan Abdul Hamid pada Isnin lalu untuk kali ketiga.

Menurut Indira, dia sangat berharap Abdul Hamid dapat bertemu dengannya secepat mungkin sebagai memenuhi janji.

“Kami berharap dia setuju berjumpa kami. Kami hendak jumpa dia selepas berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP),” katanya.

Januari lalu, Abdul Hamid berkata polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan gadis itu yang dikatakan bersama ayahnya.

Beliau juga menegaskan akan memberi perhatian khas kepada kes itu dan menjanjikan “happy ending” untuk Indira.

“Saya beri jaminan kepada rakyat Malaysia yang semua ini akan baik-baik sahaja. Saya mahu ‘happy ending’ untuk semua- emak, ayah dan gadis itu," katanya.

Indira berkata sehingga kini mereka masih tidak mengetahui tentang keadaan sebenar Prasana.

“Saya tak ada butiran mengenainya. Saya harap dia sihat,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan sama, pengerusi Pasukan Tindakan Indiran Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata mereka menunggu semuanya "berakhir dengan gembira" seperti yang dijanjikan Abdul Hamid.

“Sejak Jun tahun lepas kami minta pertemuan diadakan. Kami hantar tiga surat dan kami harap dia akan dapat jumpa kami,” katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga cuba membantu mereka mengadakan pertemuan dengan Abdul Hamid.

Indira mahu Hamid bertindak ke atas perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 kepada ketua polis negara untuk menguatkuasakan waran tangkap ke atas bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan arahan pengambilan semula anaknya, Prasana.

Riduan mengambil Prasana yang ketika itu masih bayi dan menukar tiga agama anaknya kepada Islam tanpa kebenaran bersama Indira.

Beliau kini dianggap melanggar arahan mahkamah yang memerintahkan beliau memulangkan semula Prasana kepada emaknya.

Walaupun mahkamah sudah memberikan hak penjagaan tiga anak selepas memutuskan penukaran agama itu tidak sah, Indira masih belum berjumpa dengan Prasana yang sehingga kini masih tidak diketahui keberadaannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS