Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Kapal penangkap ikan dibenar guna pekerja asing
Diterbitkan:  Jun 27, 2020 4:18 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Kerajaan akan membenarkan kapal penangkap ikan menggunakan pekerja warga asing dengan syarat mereka memiliki dokumen yang diperlukan.

Pekerja asing juga dibenarkan untuk pulang ke negara mereka tetapi tiada jaminan berkenaan kemasukan semula ke Malaysia.

Perkara ini diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.

"Mesyuarat khas secara dasarnya tiada halangan bagi kru warga asing untuk bekerja di atas vesel penangkap ikan tempatan bagi memastikan bekalan mencukupi.

"Bagaimanapun warga asing yang terlibat perlu mendapatkan kebenaran keluar negara daripada kerajaan masing-masing terlebih dahulu," katanya.

Katanya lagi, warga asing itu perlu memohon permit lawatan kerja sementara dari Jabatan Imigresen, menjalani ujian saringan Covid-19 serta wajib menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum mula bekerja.

"Majikan juga perlu menyediakan tempat tinggal untuk kru warga asing," kata Ismail.

Ekspatriat dibenar pulang dengan syarat

Sementara itu, Ismail berkata mana-mana warga asing yang ingin pulang ke negara asal dengan syarat membuat perjalanan sehala sahaja.

"Bagi warga asing yang tiada dokumen perjalanan, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing," katanya.

Bagi mereka yang dikategorikan sebagai ekspatriat, mereka dibenarkan keluar negara hanya atas urusan kecemasan dan perubatan, katanya lagi.

Malaysiakini telah menghantar pertanyaan kepada Kementerian Pertahanan berhubung sama ada mereka akan dibenarkan untuk memasuki Malaysia semula atau tidak.

Ismail turut memaklumkan polis telah menangkap tujuh warga asing berhubung "kesalahan imigresen", tetapi tidak menjelaskannya secara khusus.

Katanya, polis, tentera, Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) bekerjasama dalam operasi mengawal sempadan negara yang dinamakan Operasi Benteng.

Setakat ini, katanya, operasi itu telah melakukan 68 sekatan dan memeriksa 46,023 kenderaan untuk menghalang warga asing tanpa dokumen daripada masuk ke Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS