Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM6.5 juta diluluskan untuk bina 2 dewan serbaguna di Parit Buntar

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan cadangan membina dua dewan serbaguna dengan kos keseluruhan sebanyak RM6.5 juta, di kawasan Parlimen Parit Buntar.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, dewan itu akan dibina di Dataran Kerian Permai dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong membabitkan kos RM2.5 juta dan RM4 juta di pekan Kuala Kurau bagi DUN Kuala Kurau.

“Sebanyak RM2 juta kita luluskan untuk kerja-kerja awal bagi pembinaan kedua-dua projek tersebut dan ini membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan pembangunan untuk keperluan masyarakat di Parlimen Parit Buntar (walaupun kawasan pembangkang),” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Parlimen Parit Buntar dan menyampaikan sumbangan kepada lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di perkarangan Balai Bomba Kuala Kurau di Parit Buntar, hari ini.

Lima pasukan bomba terbabit ialah PBS Tanjung Piandang, PBS Kuala Kurau, PBS Jalan Bawah Kuala Kurau, PBS Bagan Tiang dan PBS Parit Buntar.

Zuraida berkata, dengan siapnya dewan itu kelak, ia akan membolehkan penduduk di Parlimen Parit Buntar mempunyai infrastruktur yang boleh digunakan untuk pelbagai program seperti majlis perkahwinan, keraian, pasar tani dan pasar malam.

Selain itu, Zuraida memuji PBS Parlimen Parit Buntar dan berkata ia boleh dijadikan model kerana sangat tersusun, teratur serta mampu mencari dana untuk berkhidmat kepada rakyat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS