Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur cuba bunuh diri dipenjara sebulan

Gara-gara cuba membunuh diri dengan menikam dirinya menggunakan serpihan kaca tingkap pada Mei lepas, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jacob Stanley, 42, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah flat di Sentul di Kuala Lumpur, pada 11 malam, 17 Mei lepas.

Dia dihukum mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Shaheedah Mohd Razif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan masih tinggal bersama ibunya.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didenda RM300 atau sebulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki RM13,130 dalam akaun Maybank miliknya yang tidak dapat dijelaskan dengan munasabah tentang wang tersebut.

Mohamad Shahrul Rosli, 25, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Sri Petaling, Brickfields di Kuala Lumpur antara 12.01 pagi hingga 11.59 malam, antara 20 April 2016 hingga 10 Mei 2016.

Dia dihukum mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS