Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat tuntutan Kamarul: Aziz serah kepada peguam, akan terus bersuara
Diterbitkan:  Jun 26, 2020 10:08 AM
Dikemaskini: 2:28 AM

Pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya berhubung surat tuntutan yang diterima daripada Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff semalam.

"Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya dan akan terus mempertahankan hak minoriti di negara ini dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu hantaran Facebook, semalam.

Abdul Aziz merupakan salah seorang yang menerima surat tuntutan itu semalam, yang antara lain menuntut permohonan maaf terbuka dan ganti rugi sebanyak RM5 juta. Dua lagi yang menerima surat tuntutan tersebut adalah Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid dan Adun Perai DR P Ramasamy.

Surat tuntutan terhadap Aziz berkenaan satu hantaran Facebook bertarikh 7 Jun 2017 bertajuk 'Takut dengan Kristian? - Apa dosa orang Kristian dengan Dr Kamarul dan Nasrudin di Malaysia' yang menurut surat itu mengandungi tujuh kenyataan berunsur fitnah terhadap Kamarul Zaman.

Berdasarkan surat tuntutan itu, akibat kenyataan-kenyataan tersebut, Kamarul Zaman mengalami kerugian yang tidak dapat dipulihkan, kehilangan dan mudarat fizikal dan mental yang serius pada dirinya, serta reputasinya dalam kapasiti peribadi dan profesional sebagai pengarah, pensyarah kanan dan felo utama di UUM.

“[...] Termasuk tetapi tidak terbatas pada pendedahan beliau terhadap hinaan dan cemuhan secara terbuka dan berterusan oleh masyarakat secara amnya yang menyebabkan anak guam kami mengalami kesusahan dan kegelisahan mendalam dan mendapat malu besar yang mana dia berhak dalam undang-undang pada pampasan dan dengan ini menuntut pampasan tersebut dari kamu,” kata surat tuntutan berkenaan.

Today, I’ve received a Letter of Demand (“LOD”) issued by Azril & Associates on behalf of Universiti Utara Malaysia...

Posted by Abdul Aziz Isa on Khamis, 25 Jun 2020

Dalam hantarannya, Abdul Aziz berkata beliau membuat kenyataan itu sebagai respons kepada kenyataan Kamarul yang sebelum ini diterbitkan di laman Ismaweb berhubung dua acara penganut Kristian - di Melaka pada 15-18 Jun 2017 dan Sarawak pada 22-25 Jun 2017.

Bagaimanapun carian Google mendapati artikel itu telah dipadam.

"Saya membuat hantaran itu untuk mempertahankan hak penganut Kristian menganjurkan dua acara, sebagai respons kepada kenyataannya...Bagaimanapun apabila saya cuba mencari pautan itu, ia telah dipadam daripada laman web tetapi saya telah membuat tangkap layar untuk rujukan masa depan," katanya.

Katanya lagi, sebagai ahli politik dan orang Sarawak, beliau mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat yang mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka secara bebas selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Beliau berhak ke atas pandangannya dan begitu juga saya. Saya tidak akan membuat kenyataan itu jika beliau tidak mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu dan terbitkannya untuk pihak ketiga," katanya lagi.

Pada 23 Jun lalu, Kamarul Zaman juga memulakan memulakan prosiding saman fitnah terhadap lima pemimpin DAP, iaitu anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan bekas Senator DAP Pulau Pinang, Ariffin Omar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS