Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas Veveonah, ramai kongsi kesukaran akses internet di pedalaman
Diterbitkan:  Jun 25, 2020 8:06 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Sejak tular video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet, semakin ramai tampil berkongsikan keadaan serupa di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kali ini melibatkan seorang pelajar tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris dari Sarawak yang dikenali sebagai Rose ED.

Dalam catatan di Facebooknya, Rose juga berdepan cabaran sama apabila terpaksa berkelambu dalam hutan bagi mendapatkan capaian internet demi membuat pembentangan tugasan.

"Setelah melihat video viral budak Sabah (Veveonah) hari itu, hari ini saya terfikir mahu guna idea beliau dengan menggunakan kelambu bagi mencegah nyamuk.

"Hari ini (Rabu) 24 Jun 2020, selesai sudah presentation berkumpulan atas talian melalui sistem MyGuru.

"Sepatutnya presentation ini sudah selesai pada minggu lepas tetapi terpaksa ditunda kerana diri ini gagal untuk menghadirkan diri ekoran daripada capaian internet yang sangat lemah di kawasan pedalaman," katanya.

Menurut gadis yang berasal dari daerah Pakan, Sarawak itu, capaian internet di kawasan yang menjadi lokasi keluarganya menoreh getah itu lebih baik berbanding di kawasan rumah panjang yang dihuni mereka.

"Kawasan kampung kami tidak mempunyai capaian internet tetapi terdapat juga beberapa kawasan di sekitar kampung yang dapat dikunjungi bagi mendapatkan akses internet seperti di kawasan berbukit, kawasan ladang sawit dan lain-lain.

"Namun, kawasan ini tak sesuai untuk dikunjungi setiap hari memandangkan saya sendiri mempunyai jadual kelas yang padat, kecuali pada Selasa dan Ahad," katanya.

Kata Rose, dia juga memilih kawasan hutan tersebut kerana berhampiran dengan kebun bapanya selain boleh membaiki pondok di kebun itu untuk kegunaan kelas ‘online’ pada masa hadapan.

"Untuk pengetahuan saudara saudari, kampung kami tidaklah jauh mana dari kawasan Pekan Pakan. Namun, perlu kita fikir di sini bahawa untuk pergi ke pekan memerlukan kos dan kenderaan yang baik untuk ulang alik setiap hari.

"Saya orang kurang berkemampuan jadi saya tidak mampu untuk pergi ke pekan hari-hari, tambahan pula keadaan cuaca yang kerap hujan," katanya.

Tambah Rose, dia amat memerlukan capaian internet yang baik bagi mendapatkan maklumat berkaitan sesi pembelajaran melalui sistem universiti apatah lagi perlu menjayakan projek sebagai pelajar tahun akhir.

"Sebagai seorang pelajar tahun akhir, saya sangat memerlukan capaian internet yang bagus untuk akses maklumat projek tahun akhir (FYP).

"Segala sistem MyGuru, MyUpsi Portal dan Pustaka UPSI langsung tak dapat dicapai. Saya berharap coretan ini dapat sampai kepada pihak-pihak tertentu bagi memudahkan urusan pelajar yang betul-betul memerlukan capaian internet yang bagus," tambahnya.

Catatan Rose itu turut disertakan bersama gambar dia berkelambu dalam hutan dan mendapat perkongsian lebih 4,500 di Facebook dan 9,100 tanda suka.

'Hanya ingin buka mata kerajaan negeri'

Sementara itu, dalam perkongsian hari ini, Rose menegaskan hantarannya mengenai capaian internet itu bukan bermaksud untuk mempolitikkan hal tersebut.

Sebaliknya, kata Rose ia hanya bertujuan membuka mata pihak kerajaan negeri Sarawak berhubung kekurangan kemudahan internet di kawasan terbabit.

"Tuan-tuan dan puan-puan, pihak UPSI sememangnya menjaga kebajikan para pelajarnya kerana bagi pelajar yang mengalami gangguan internet masih boleh memperolehi nota yang dihantar melalui pos.

"Namun, berkaitan hantaran saya di Facebook (semalam) hanyalah untuk membuka mata pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya sampai bila kawasan pedalaman ini harus dibiarkan seperti ini.

"Saya banyak kali berfikir nak tulis apa, risau ada pihak yang terguris hati. Dengan rasa rendah hati, saya memohon maaf sekiranya saya ada terkasar bahasa," katanya.

Satu lagi perkongsian adalah daripada ibu kepada pelajar sekolah di Pekan Pakan, Sarawak yang menggunakan nama Sadiah Ddarel dan berharap luahannya dapat membuka mata banyak pihak.

Dalam perkongsian tersebut, Sadiah Ddarel memuat naik keadaan anak serta orang ramai yang terpaksa ‘berkelah’ di kawasan yang mempunyai capaian internet demi menyiapkan tugasan dan berhubung dengan dunia luar.

"Kalau pelajar Sabah berkelambu dapat buka mata, apa bezanya kami di pedalaman yang tidak jauh dari Pekan Pakan?" soalnya.

"Saya harap niat baik saya tidak mendapat kecaman pihak yang tidak prihatin terhadap kesusahan orang lain tapi dapat memberi manfaat kepada penduduk kami di kawasan Julau Ulu, Kota. Kami sudah mendapat elektrik 24 jam tetapi perlu naik ke tempat berbukit mencari capaian internet," katanya.

Berdepan risiko diserang haiwan liar

Menurut Sadiah, kawasan yang masih menggunakan laluan tanah merah itu membuatkan capaian internet agak susah diperoleh.

Oleh demikian, mereka terpaksa berkumpul di kawasan ‘spot’ yang mempunyai capaian lebih baik.

Menurut Sadiah lagi, mereka hanya berbekalkan bekas telur yang dibakar untuk menghalau nyamuk dan serangga serta berdepan risiko diserang haiwan liar.

Malah dia juga menceritakan kisah anaknya yang pernah dibelit ular di kaki semasa sedang meniarap melakukan tugasan.

Pada gambar yang dikongsikan Sadiah dapat dilihat ramai penduduk duduk dalam semak bagi mendapatkan capaian internet terutamanya para pelajar yang masih perlu menyiapkan tugasan di sekolah mahupun universiti yang diberikan.

Muat naik yang dibuat oleh Sadiah Ddarrel itu mendapat lebih 5.2 ribu tanda suka dan 5.1 ribu perkongsian di Facebook.

Sementara itu, isu sama turut dikongsi seorang lagi pengguna Facebook yang menggunakan nama Lunzxai Lunzxai.

Menurut pemuda dari Saban Sungai Ipoh, Pakan, Sarawak itu, dia kini menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk pelajar di kampungnya untuk keluar dari kawasan perkampungan bagi mendapatkan akses internet.

"Demi anak-anak, demi masa depan. Bukan mudah mencari kesenangan hidup dan ilmu. Kami anak pedalaman, Rumah Panjang Saban, Sungai Ipoh mencari capaian internet untuk belajar, bersekolah di hutan dan saya menyediakan pengangkutan," katanya yang turut berkongsi beberapa keping gambar mereka di kawasan berbukit dan hutan kelapa sawit.

Malaysiakini dalam usaha menghubungi mereka bagi perkongsian lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS