Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang menolak kemungkinan pertemuan Sheikh Omar Ali dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin disebabkan Adun Paloh itu mahu melompat parti.
Menyifatkan khabar itu sebagai tidak berasas, Mazlan berkata sekiranya benar, pasti beliau akan dikunjungi Adun DAP itu.
“Takkanlah kerana dia datang jumpa Muhyiddin dia nak masuk Bersatu? Tak adalah. Kita pun tak tahu cerita apa. Tak mungkinlah. Setakat jumpa, saya pun jumpa geng DAP.
“Kalau ada mesti Sheikh Omar jumpa saya. Tak ada asaslah. Jumpa cakap helo apa salahnya?” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Sheikh Omar berkongsi sekeping gambar pertemuannya dengan Muhyiddin yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, yang mengandungi soalan “Bersatu tambah kerusi DUN Johor ke?”
Sheikh Omar dan Muhyiddin dilihat tersenyum dalam gambar berkenaan.
Tidak dapat dipastikan bila gambar itu diambil.
Bagaimanapun, Sheikh Omar membalas soalan tersebut dengan tweet berbunyi, “Mana tahu DAP yang akan tambah kerusi nanti…”
Mengulas lanjut, Mazlan secara berseloroh berkata, jika perkara itu benar-benar terjadi sekalipun, Bersatu Johor terbuka untuk menerima pertambahan kerusi berkenaan.
“Kalau berlaku pun okey, kita pun terima je.
“Ramai sikit kita,” katanya sambil ketawa.
Malaysiakini sedang menghubungi Sheikh Omar untuk mendapatkan maklum balas.
Selepas pilihan raya umum ke-14, Osman Sapian dari Bersatu memegang jawatan menteri besar Johor selama 11 bulan sebelum digantikan oleh Sahruddin Jamal, juga dari Bersatu.
Bagaimanapun Shahruddin memegang jawatan itu selama 10 bulan sebelum digantikan oleh Ir Hasni Mohamad dari Umno, tidak lama selepas kerajaan Perikatan Nasional tumbang.
Johor mempunyai susunan kerusi sengit, dengan PN mempunyai 28 kerusi, manakala PH memiliki 27 kerusi.
Daripada jumlah itu, DAP mempunyai 14 kerusi, manakala Bersatu pula memiliki 11 kerusi.