Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menghantar tiga surat tuntutan kepada tiga lagi pemimpin DAP hari ini.
Surat tuntutan dihantar kepada Adun Perai, Dr P Ramasamy; Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; dan pengerusi DAP Batu Kitang Abdul Aziz Isa. Ia antara lain, menuntut permohonan maaf daripada ketiga-tiga mereka, serta ganti rugi sebanyak RM5 juta setiap seorang.
Surat tuntutan yang dilihat Malaysiakini itu dihantar atas dakwaan ketiga-tiga pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan “fitnah” dalam bentuk hantaran Facebook dan juga artikel mereka yang disiarkan di portal berita.
Ketika dihubungi, pensyarah mesra PAS itu mengesahkan bahawa ketiga-tiga surat tuntutan telah dihantar kepada ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut pagi ini, kira-kira jam 9.30 pagi.
Tiga hantaran Facebook Ramasamy yang dirujuk di dalam surat tuntutan itu adalah hantaran pada 21 Mei 2017, serta hantaran pada 23 dan 24 Jun 2020 di Facebooknya, yang merujuk kapasiti “peribadi” Kamarul Zaman, serta kapasitinya selaku “pengarah, pensyarah kanan dan felo di UUM”.
Surat tuntutan itu memetik sembilan kenyataan daripada hantaran berkenaan yang dikatakan berunsur fitnah terhadap dirinya, antara lain, menuduh Kamarul Zaman “kurang sensitiviti pendidikan untuk menyentuh (address) isu dengan lebih logikal dan rasional”.
Ramasamy juga dipetik sebagai berkata bahawa Kamarul Zaman wajar diberikan surat tunjuk sebab oleh UUM kerana menjejaskan reputasi (disrepute) dan memalukan universiti itu dengan membuat tuduhan palsu dan dasyat (atrocious) kepada rakyat Malaysia.
Kenyataan-kenyataan Ramasamy itu dikatakan membawa maksud, antara lain, bahawa Kamarul Zaman tidak mempunyai kelayakan, pembawaan (temperament), pendidikan dan sensitiviti untuk menjadi pensyarah di sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.
Ia juga, antara lain, didakwa membawa maksud bahawa pensyarah mesra PAS itu mempergunakan kedudukannya untuk mempengaruhi pelajarnya ke arah kebencian kaum serta agama, seorang penipu, dan membuat tafsiran yang ekstrem, provokatif dan tak berasas.
Kenyataan Syerleena yang dirujuk surat tuntutan itu pula dibuat pada 18 Mei dalam artikel yang disiarkan di laman web dapmalaysia, serta pada 23 Mei 2017 dalam artikel yang disiarkan dalam portal berita Free Malaysia Today.
Surat tuntutan itu memetik sembilan kenyataan Syarleena daripada artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Kamarul Zaman, antaranya, “mana-mana rakyat Malaysia yang waras akan ketawa terhadap kekarutan (absurdity) kenyataannya (Kamarul Zaman) dan mungkin mempersoakan kelayakannya sebagai ahli akademik…”.
Juga, mengenai kenyataan Syerleena yang mendakwa Kamarul Zaman hanyalah “budak suruhan (lackey) yang sanggup merendahkan martabatnya demi membuktikan nilainya kepada tuan politiknya”.
Kenyataan-kenyataan Syerleena itu dikatakan membawa maksud, antara lain, bahawa Kamarul Zaman membuat kesimpulan dungu (foolish) tidak padan dengan kedudukan dan kelayakannya sebagai ahli akademik, serta merupakan budak suruhan yang bertuankan ahli politik.
Kenyataan Abdul Aziz pula dibuat di Facebooknya pada 7 Jun 2017, yang menurut surat tuntutan itu mengandungi tujuh kenyataan yang berunsur fitnah terhadap Kamarul Zaman.
Berdasarkan surat tuntutan itu, akibat kenyataan-kenyataan tersebut, Kamarul Zaman mengalami kerugian yang tidak dapat dipulihkan, kehilangan dan mudarat fizikal dan mental yang serius pada dirinya, serta reputasinya dalam kapasiti peribadi dan profesional sebagai pengarah, pensyarah kanan dan felo utama di UUM.
“[...] Termasuk tetapi tidak terbatas pada pendedahan beliau terhadap hinaan dan cemuhan secara terbuka dan berterusan oleh masyarakat secara amnya yang menyebabkan anak guam kami mengalami kesusahan dan kegelisahan mendalam dan mendapat malu besar yang mana dia berhak dalam undang-undang pada pampasan dan dengan ini menuntut pampasan tersebut dari kamu,” kata surat tuntutan berkenaan.
Oleh hal yang demikian, Kamarul menuntut agar ketiga-tiga pemimpin DAP berkenaan untuk membuat kenyataan terbuka yang mengakui dan mengisytiharkan kepalsuan semua kandungan hantaran atau artikel tersebut dengan penekanan terhadap kenyataan-kenyataan fitnah di dalamnya.
Mereka turut dituntut memohon maaf, tanpa pengecualian, terma mahupun syarat untuk penerbitan hantaran atau artikel berkenaan, di samping aku janji yang mengikat dan boleh dikuatkuasakan untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama di lain masa.
Selain itu, mereka dituntut membayar ganti rugi RM5 juta setiap seorang sebagai pampasan disebabkan penerbitan kenyataan yang dikatakan fitnah berkenaan.
Menurut surat itu, sekiranya mereka tidak membalas tuntutan berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh penerimaannya, maka tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap mereka.
Kelmarin, Kamarul Zaman juga memulakan memulakan prosiding saman fitnah terhadap lima pemimpin DAP, iaitu anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan bekas Senator DAP Pulau Pinang, Ariffin Omar.