Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM pantau bekas pesakit Covid-19 dari kesan sampingan

Kementerian Kesihatan (KKM) memantau pesakit yang telah pulih daripada kes Covid-19 yang serius daripada segi kesan sampingan jangka panjang, melibatkan kerosakan paru-paru dan sistem kekebalan tubuh yang lemah.

Menurut ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, kesan sampingan seperti ini diperhatikan dalam "lima kategori" melibatkan bekas pesakit yang mengalami radang paru-paru yang teruk dan menggunakan ventilator.

"Kita lihat sekarang ini ada satu lagi komplikasi iaitu mereka telah pulih tetapi ketahanan tubuh atau immuniti mereka tak kekal, iaitu lepas tiga bulan imunoglobulin, Igm dan Igg, juga akan berkurangan.

"Jadi mungkin ada kesan kepada immuniti individu tersebut.

"Jadi kalau individu tersebut mempunyai immuniti yang rendah, maka mudah mendapatkan jangkitan kuman, tak hanya Covid tapi kuman lain ”jelasnya semasa sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata pihak hospital akan melakukan rawatan susulan terhadap pesakit yang telah discajd, terutama mereka yang sebelum ini diklasifikasikan dalam "kategori empat dan lima".

Pesakit kategori empat adalah mereka yang mengalami radang paru-paru dan perlu diberi bantuan oksigen tetapi bukan melalui ventilator.

"Ada kemungkinan paru-paru akan rosak dan sebagainya jadi kajian telah dijalankan di luar negara.

"Kita pun menjalankan kajian di Institute Respiratory Negara, juga melibatkan kepada kajian jangka panjang, iaitu melihat kepada pesakit-pesakit yang pernah diberi bantuan pernafasan dan kita akan melihat sama ada kesan dia dalam tempoh tiga bulan, enam bulan dan sebagainya," katanya.

Pesakit kategori satu Covid-19 tidak menunjukkan simptom, manakala kategori dua memiliki simptom ringan dan pesakit kategori ketiga adalah mereka yang mengalami radang paru-paru ringan tetapi tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata Covid-19 biasanya memberi kesan terhadap paru-paru dan menyebabkan “cytokine storm” yang kebiasaannya merosakkan saluran darah.

Ini seterusnya melambatkan aliran darah dan menyebabkan pembekuan darah.

Keadaan ini sangat berbahaya sekiranya terjadi di otak atau jantung kerana boleh menyebabkan strok dan serangan jantung.

Noor Hisham berkata, terdapat dua hingga tiga kes yang dikesan di mana pembekuan darah berlaku di bahagian usus dan ini boleh menyebabkan ischemic colitis - iaitu pengurangan aliran darah ke bahagian usus besar yang menyebabkan oksigen tidak mencukupi dalam sistem pencernaan.

Sementara itu, pembekuan darah buah pinggang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Berikutan kemungkinan terjadinya komplikasi, beliau berkata doktor telah merawat radang paru-paru dengan ubat seperti dexamethasone bagi mengelakkan keadaan pesakit bertambah buruk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS