Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM ramal sifar kes harian pertengahan Julai jika semua patuh SOP

Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan bahawa Malaysia akan menyaksikan sifar kes Covid-19 harian pada pertengahan bulan depan sekiranya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.

Dalam taklimat medianya di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa negara sudah mencatat jumlah kes harian yang lebih rendah daripada yang diunjurkan.

"Mungkin dalam tempoh sebulan lagi, kalau kita patuh pada SOP, dan patuh pada nasihat KKM, mungkin kita akan mencapai sifar kes. Jadi itulah matlamat kita

"Unjuran kita memang mengatakan pertengahan bulan Julai, kalau rakyat Malaysia patuh pada SOP, kita boleh mencapai sifar (kes harian).

"Tindakan itu bukan tindakan KKM, tapi rakyat Malaysia kena patuh pada SOP," katanya.

Malaysia mencatatkan enam kes Covid-19 baru sehingga tengah hari tadi. Hanya tiga kes direkodkan semalam.

Kes baru setiap hari tidak meningkat melebihi 50 sejak 5 Jun.

Ditanya apakah negara bersedia untuk kembali membenarkan aktiviti sosial pada 1 Julai, Noor Hisham sekali lagi menekankan pentingnya mematuhi SOP, terutama penjarakan sosial.

"Kalau kita boleh kawal virus dan kembali kepada kebiasaan kita, dengan patuh SOP, maka itu adalah terbaik.

"Kita masih tidak mempunyai vaksin hari ini. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter adalah vaksin kita buat masa ini,” tambahnya.

Awal hari ini, kerajaan memutuskan bahawa majlis perkahwinan dan acara persendirian akan dibenarkan mulai bulan depan, tertakluk kepada SOP.

Ia termasuklah perayaan, upacara keagamaan, ulang tahun perkahwinan, pesta ulang tahun dan perjumpaan.

Antara SOP yang ditetapkan adalah had 250 tetamu, had masa tiga hingga lima jam, larangan bufet, pemeriksaan suhu dan jarak sosial. Peserta juga disarankan memakai topeng muka.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS