Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenazah pelancong India yang meninggal di depoh tahanan selamat dikebumikan

Setelah dua minggu menanti, mayat pelancong India yang meninggal di depoh tahanan, Zeawdeen Kadar Masdan selamat dikebumikan.

Perkara itu disahkan oleh rakan keluarga Zeawdeen, Othuman Mansoor kepada Malaysiakini hari ini.

“Ya (jenazah Zeawdeen dikebumikan) semalam, lebih kurang pukul 11.30 pagi di tanah perkebumian Batu Caves (Selayang).

“Semalam, (pegawai hospital) telefon suruh ke hospital untuk tuntut mayat pukul 9 pagi,” katanya.

Othuman dilantik keluarga Zeawdeen yang menetap di Chennai India untuk menguruskan jenazah dan mengatur pengebumian Zeawdeen di Malaysia.

Bagaimanapun, Othuman menghadapi kesukaran untuk menuntut mayat rakannya sejak dua minggu lalu, bermula tarikh Zeawdeen disahkan meninggal dunia pada 12 Jun.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham Abdullah, proses menuntut jenazah itu agak lama kerana masih menunggu laporan makmal.

Mengulas lanjut, Zeawdeen menjelaskan dia tidak mengendalikan sebarang urusan pengebumian Zeawdeen, malah hanya hadir untuk menuntut dan mengecam jenazah.

Tambahnya, segala urusan tersebut dilaksanakan oleh pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Saya tak mandi atau kebumi (jenazah Zeawdeen), cuma berada di sana.

“Ada dalam empat orang (pegawai) Jawi yang uruskan semua (pengebumian Zeawdeen),” katanya lagi.

Untuk rekod, Zeawdeen merupakan pelancong warga India yang memiliki dokumen visa tamat tempoh yang sah, namun terkandas ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Dia yang sepatutnya pulang ke Chennai pada 20 Mac lalu bagaimanapun ditahan dalam satu serbuan di Malayan Mansion Kuala Lumpur 8 Mei lalu dan ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Sebelum ditahan, Zeawdeen disahkan tidak dijangkiti Covid-19, berdasarkan dokumen KKM.

Bagaimanapun dia didapati positif penyakit itu ketika ditahan di depoh tahanan tersebut dan akhirnya disahkan meninggal dunia pada 12 Jun.

Keluarganya pada awal hanya mengetahui khabar tersebut melalui berita namun sehari kemudian menerima telefon dari Suruhanjaya Tinggi India yang mengesahkan kematian Zeawdeen.

Sementara itu Dr Noor Hisham, menerusi sidang media hari ini menjelaskan bahawa Zeawdeen mempunyai penyakit radang paru-paru yang kronik dan menghidapi kencing manis.

“Bedah siasat mendapati beliau mempunyai radang paru-paru yang agak teruk dan menghidapi kencing manis. Beliau mungkin juga mempunyai jangkitan lain.

“Tiada laporan penuh lagi kerana ia perlukan siasatan lanjut,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS