Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin: PH masih utuh walau ada perbezaan pendapat
Diterbitkan:  Jun 24, 2020 6:25 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) masih utuh walaupun mempunyai perbezaan pendapat mengenai calon perdana menteri.

Dalam wawancara dengan akhbar harian berbahasa Cina, Kwong Wah, Saifuddin berkata tidak ada perubahan dari segi hubungan antara PKR, DAP, dan Amanah.

Saifuddin berkata demikian walaupun DAP dan Amanah sebelum ini dilihat cenderung menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sementara PKR tetap tegas dengan keputusan agar presiden parti mereka, Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon bagi jawatan itu.

"Baru dua hari yang lalu saya makan tengah hari dengan (pemimpin DAP) Anthony Loke dan Liew Chin Tong. Saya juga meraikan (pemimpin Amanah) Khalid Samad dan Hatta Ramli," katanya.

Saifuddin berkata kedua-dua parti itu memilih untuk kekal dalam PH.

"Sekadar ada pendapat yang berbeza tentang calon perdana menteri," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata kedua-dua parti itu bersedia menyokong Mahathir sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan yang mencukupi.

"Tetapi persoalannya, apakah Tun (Mahathir) mempunyai jumlah sokongan yang cukup?" katanya.

Dalam temu bual dengan Sin Chew baru-baru ini, Mahathir mengatakan bahawa dia akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah, namun bersedia memutuskan kerjasama dengan PKR yang menolaknya sebagai calon perdana menteri.

Namun, ketika ditanya mengenai hubungan antara Mahathir dan Anwar, Saifuddin mengatakan bahawa PKR terbuka dan bersedia untuk menjalin hubungan dengan sesiapa sahaja pada masa akan datang.

Parti itu, katanya, telah membuktikan keterbukaannya dengan penerimaan Bersatu dalam PH sebelum pilihan raya umum ke-14 walaupun Mahathir dan Anwar merupakan seteru selama 20 tahun.

"Dalam demokrasi, yang didasarkan pada permainan jumlah sokongan, kita harus siap untuk berinteraksi dengan semua orang, tetapi kita mesti bergerak pada prinsip yang jelas.

"Kami percaya bahawa PKR sahaja tidak mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan," katanya.

Mengenai pertikaian mengenai calon perdana menteri, Saifuddin mengatakan bahawa Mahathir percaya bahawa perdana menteri mestilah seseorang yang memimpin parti Melayu.

"Dalam pertemuan pada 9 Jun, Mahathir mengatakan perdana menteri mestilah orang Melayu dan seseorang yang memimpin parti Melayu," katanya.

Justeru, tambah Saifuddin, Mahathir tidak dapat menerima Anwar kerana pengerusi PH itu merupakan presiden parti berbilang kaum.

"Bagi saya, itu bukan sekadar kenyataan saja-saja, (kepercayaan) itu ada dalam DNAnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS