Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Pusat Latihan Kemahiran Selangor hari ini menyaran kerajaan pusat supaya menyediakan program pembelajaran kemahiran percuma kepada pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Presidennya, Ayapan Muniandy berkata bahawa di Malaysia, program TVET sentiasa diabaikan berbanding negara-negara maju yang menjadikan TVET asas kepada pembangunan ekonomi dan inovasi.

"Baru-baru ini kerajaan memperuntukkan geran RM250 juta kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk beberapa program termasuk pembangunan latihan kepada B40 yang hilang kerja, graduan penganggur dan belia yang tidak kerja.

"Bagaimanapun, tiada sebarang peruntukan untuk latihan kemahiran," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, buat masa ini pelatih atau pelajar yang melanjutkan pembelajaran di bawah TVET, perlu mendapatkan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

"PTPK memberi pinjaman antara RM15 ribu hingga RM30 ribu bergantung kepada program dengan kadar faedah 3 peratus.

"Kebanyakan pelatih yang mengambil bahagian di bawah TVET adalah daripada golongan B40 di mana mereka tercicir dalam akademik dalam ingin meneruskan kerjayanya dalam sektor kemahiran.

"Namun, terdapat banyak halangan untuk mendapatkan pinjaman ini seperti, perlu ada penjamin, dokumen mereka perlu disahkan oleh ketua kampung dan pusat kemahiran perlu 'letter of intent' (LOI) daripada pihak industri.

"Kebanyakan program kemahiran adalah antara 12 hingga 36 bulan. Jadi, agak susah untuk pihak industri memberi surat LOI yang perlu menyatakan jawatan dan gaji terlebih dahulu yang bakal diberikan tiga tahun kemudian," katanya.

TVET adalah proses pendidikan dan latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Ia bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu.

Kini lebih daripada 500 institusi TVET awam yang menawarkan pelbagai program TVET bagi semua peringkat pendidikan.

"Segala permintaan kami untuk menyediakan geran percuma sebelum ini tidak diendahkan.

"Kami harap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama Menteri KSM M Saravanan memperuntukkan geran melalui PTPK dalam usaha mengembangkan kemahiran belia dari golongan B40," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS