Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan biasiswa kepada Veveonah Mosibin untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat sarjana muda di universiti itu.
Veveonah sebelum ini menjadi bahan berita setelah video dirinya memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian tular di media sosial.
Dalam catatan di Facebook hari ini, Naib Canselor UMS, Taufiq Yap Yun Hin mengumumkan tawaran universiti itu kepada pelajar berusia 18 tahun tersebut.
“UMS dengan sukacitanya menawarkan biasiswa kepada Veveonah Mosibin yang menamatkan pengajian Asasi Sains di UMS utk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana muda di UMS.
“Veveonah menjadi perhatian umum selepas videonya tular di media sosial berhubung usahanya yang bersungguh-sungguh untuk menduduki peperiksaan akhir secara talian di atas pokok untuk mengatasi masalah liputan internet di kampungnya.
“Veveonah seorang pelajar pintar dan sentiasa proaktif semasa dalam pengajian asasi sainsnya. Semoga Veveonah akan berjaya dengan cemerlang dalam pengajiannya. Tahniah Veveonah!” kata Taufiq.
Catatan itu disertakan bersama gambar naib canselor tersebut dengan Veveonah.
Video YouTube Veveonah, berjudul “24 Hours On Tree / Challenge' (Cabaran 24 jam atas pokok) memaparkan Veveonah terpaksa bermalam di atas pokok semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang laju untuk menjawab peperiksaan.
Lebih 600,000 telah menonton video berkenaan sejak ia disiarkan pada 12 Jun.
Kesungguhannya itu mendedahkan perbezaan infrastruktur masih meluas di negara ini khususnya buat mereka yang tinggal kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak.
Berasal dari Kampung Sabanalang di Pitas, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM sebelum ini dipetik dalam laporan berita sebagai berkata, bahawa dia tidak mempunyai bekalan elektrik, air atau televisyen di rumah.
Setelah videonya menjadi tular, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan bahawa kerajaan merancang untuk membina menara telekomunikasi berhampiran kampung Veveonah untuk membolehkan sambungan 4G.