Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jenazah bekas wartawan kanan dan veteran PAS, Subky Abdul Latif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah, Kuala Lumpur, petang ini.

Terdahulu, jenazah Subky tiba Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur kira-kira 2.45 petang untuk dimandikan dan dikafankan seterusnya disolatkan sekitar 5.10 petang.

Solat jenazah diimamkan anak lelaki Allahyarham Abdul Latif Rahbar Subkhi, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man serta ahli keluarga Allahyarham.

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut, serta penjarakan sosial antara jemaah.

Sejurus solat jenazah selesai, jenazah dibawa ke tanah perkuburan dan difahamkan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berada di kawasan perkuburan, bagi urusan pengebumian sekitar jam 6.00 petang.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir kepada arwah anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham, Naib Presiden PKR, Tian Chua, dan pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali dan Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

 

Allahyarham, 80, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anaknya menerusi satu hantaran di Facebook.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani oleh isterinya, Naznah Taha dan semua anak-anaknya.

Allahyarham dikatakan sudah sekian lama uzur tetapi masih aktif menulis, khususnya untuk Harakahdaily.

Dia dikatakan menghidap sakit myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukimia.

Subky pernah jadi wartawan Kumpulan Utusan Melayu, akhbar yang disertainya pada awal 1960-an.

Beliau juga antara pengasas akhbar lidah rasmi PAS iaitu Harakah, yang mula terbit pada hujung 1970-an.

Dalam bidang penulisan, Subky diingati kerana kupasannya mengenai politik di Harakah.

Ruangannya dulu dikenali dengan nama Dari Mana Nak Ke Mana sebelum ditukar kepada Min Aina Ila Aina, dan kemudian ditukar lagi menjadi Mens Sana In Corpore Sano.

Subky merakamkan pengalaman dalam politik dan kewartawanan dalam autobigrafi Anak Apak yang terbit pada 2011.

Subky bertanding dalam enam pilihan raya umum tetapi tidak pernah menang sekali pun, bermula pilihan raya umum 1979 hingga 1999.

Dalam PRU 1999, beliau kalah kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS