mk-logo
Berita
Kit Siang: Tak betul andaikan DAP dan Amanah ketepikan Anwar
Diterbitkan:  Jun 23, 2020 4:11 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

DAP dan Amanah tidak pernah meninggalkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan memihak kepada Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad, kata Lim Kit Siang.

Malah jelas veteran DAP itu, gesaan kedua-dua parti agar Dr Mahathir diberi tempoh mengetuai kabinet - selama enam bulan - dibuat kerana berpendapat ia adalah cara paling pasti untuk membawa Anwar menjadi perdana menteri.

“Persoalan yang timbul dalam minda kebanyakan orang sejak seminggu lalu ialah mengapa DAP dan Amanah telah meninggalkan Anwar dan memilih Mahathir. Mereka salah.

“DAP dan Amanah tidak pernah mengetepikan Anwar demi memihak kepada Mahathir, kerana ia (pelan peralihankuasa itu) adalah cara paling pasti untuk Anwar menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lim, jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Lim berharap mereka tidak melakukan kesilapan sama, khususnya berkenaan peralihan kuasa.

“Persoalan berkenaan jawatan perdana menteri yang diselesaikan dengan cara peralihan kuasa mengikut tempoh enam bulan, Mahathir menjadi perdana menteri kesembilan dan yang ke-10 Anwar.

"Sistem gabungan (proses) membuat keputusan berkenaan dengan pelantikan utama dan cara pentadbiran kabinet perlu dipersetujui bersama,” katanya lagi.

Gesaan DAP dan Amanah hadir susulan kebimbangan mereka terhadap kejayaan gerakan mengambil semula Putrajaya selepas ia dirampas Bersatu, Umno-BN dan PAS yang kemudian membentuk PN - sebuah gabungan yang setakat ini belum berdaftar secara rasmi.

Tidak ada jaminan akan berjaya

Formula menggabungkan Mahathir - Anwar sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri dianggap boleh merealisasikan usaha berkenaan.

Bagaimanapun PKR bertegas mahu Anwar menjadi calon perdana menteri.

Ia kemudian mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin dan penyokong PH. Pada masa sama Muhyiddin dilihat terus menggiatkan usahanya mengukuhkan sokongan terhadap beliau.

Beberapa pemimpin kanan Umno pula bercakap mengenai pilihan raya umum (PRU) mengejut bagi merungkai kemelut yang ada sekarang.

Tidak seperti kebanyakan negara, Malaysia tidak mengumumkan tarikh PRU lebih awal untuk memberi peluang kepada semua parti yang terbabit mengadakan persediaan.

Setakat ini pembubaran parlimen untuk mengadakan PRU dibuat secara mengejut melalui pengumuman perdana menteri. Ia menjadikan parti kerajaan memiliki kelebihan untuk membuat persediaan berbanding pembangkang.

Penyokong Mahathir berpendapat bahawa anggota parlimen Langkawi itu lebih senang meraih sokongan dari wakil anggota parlimen, termasuk dari Sabah dan Sarawak, serta bekas pemimpin Bersatu yang bersama Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Lim turut mengimbas kembali peristiwa kemenangan PH pada PRU ke-14 yang dicapai setelah Anwar dan Mahathir mengetepikan perselisihan di antara mereka dan membentuk gabungan menentang BN.

“Kita tidak boleh terus dipenjara dengan masa silam atau keputusan bersejarah yang terlakar pada 9 Mei 2018 sehingga membawa kepada perubahan kerajaan secara aman dan demokratik," katanya lagi.

Mengakui usaha mengambil alih Putrajaya mungkin gagal, ahli parlimen Iskandar Puteri itu juga berharap PH akan tetap utuh walau bagaimanapun hasil gerakan berkenaan.

"Kita mesti realistik. Walaupun dengan semua faktor berada di tempatnya tidak ada jaminan langkah mengembalikan mandat rakyat kepada PH akan berjaya.

"Seperti dinyatakan Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) dan Presiden Amanah (Mohamad Sabu) semalam dan hasil mesyuarat sekretarian PH serta kenyataan bersama pemimpin ketiga-tiga parti, PH akan terus menjadi gerakan politik yang utuh bagi menyatuhkan semua pihak menyelamatkan Malaysia dengan melakukan reformasi institusi dan demokrasi,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS