Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam buka siasatan kematian pelancong di pusat tahanan Imigresen

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulakan siasatan terhadap kematian warga India ketika dalam tahanan Imigresen pada 12 Jun selepas dijangkiti Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph hari ini. Beliau turut mempersoalkan keputusan Jabatan Imigresen untuk menahan mangsa, Zeawdeen Kadar Masdan, atas dasar memiliki visa tamat tempoh di saat dia tidak boleh memohon lanjutan visa susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Kami baru mula melihat kes ini dan menyiasat, dan akan bertemu semua pihak yang terlibat untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Ia satu lagi aspek yang dibimbangkan. Kematian dalam tahanan perlu disiasat oleh forensik untuk memastikan kematian mangsa berpunca sama ada daripada sebab yang natural, tahanan lain, kakitangan penguatkuasa, atau dicetuskan kerana dia tidak diberikan sokongan perubatan yang memadai," katanya.

Jerald Joseph

Zeawdeen, 67, datang dari Chennai dan tiba di Malaysia pada 17 Mac lalu - sehari sebelum penguatkuasaan PKP - bersama anaknya Jamaludeen dan besannya. Zeawdeen dan anaknya ditahan Imigresen dalam satu serbuan di bangunan Malayan Mansion di Masjid India, Kuala Lumpur pada 8 Mei.

Sebelum ditahan, Zeawdeen disahkan tidak dijangkiti Covid-19, berdasarkan dokumen Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun dia didapati positif ketika ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan dirawat di sebuah hospital sementara, bermula 26 Mei hingga 7 Jun.

Dia kemudian dibenarkan keluar dan dibawa kembali ke pusat tahanan. Pada 11 Jun, dia ditemui tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Cheras dan meninggal dunia di sana.

Sejak itu, keluarga Zeawdeen meminta seorang kawannya untuk menuntut mayat dan mengaturkan pengebumian di Malaysia.

Menurut kawan tersebut, Othuman Mansoor, pihak keluarga tiada wang untuk membawa pulang mayat Zeawdeen.

Anaknya, Jamaludeen pula kembali ke Chennai sebelum mendapat tahu tentang kematian bapanya.

'Tangkapan tak patut berlaku'

"Saya tak fikir mereka ini patut ditangkap kerana mereka ada (dokumen perjalanan) sah tetapi hanya luput keranan PKP," kata Joseph.

Beliau juga menyuarakan rasa terkejutnya dengan kenyataan Jabatan Imigresen bahawa Zeawdeen ditahan kerana didakwa melakukan perjalanan keluar masuk yang kerap di luar normal kebiasaan pelancong biasa.

Menurut Joseph, isu tersebut sepatutnya ditangani lebih awal dan bukannya ketika wabak.

"Jika mereka datang tanpa dokumen, atau dokumennya tidak sah, itu cerita lain. Tetapi (mereka datang) dengan dokumen sah dan mahu memohon lanjutan, tetapi mereka tidak boleh pulang atau memohon lanjutan kerana PKP.

"Tentulah ia tidak memerlukan tangkapan segera, kerana ia berpunca daripada wabak, bukannya kecuaian mereka atau sebab lain," katanya lagi.

Pada 19 Jun lalu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata rekod mereka menunjukkan Zeawdeen membuat perjalanan keluar masuk yang kerap sejak 2017 "di luar norma kebiasaan seorang pelancong".

Joseph berkata lagi, Suhakam juga terkejut dengan serbuan Imgresen ketika PKP pada bulan lalu, memandangkan perkara utama ketika penularan wabak adalah untuk mengelakkan kesesakan dan penularannya.

"Risiko penularan di tempat yang sesak sepertI pusat tahanan bukan sains roket. Jelas ia boleh terjadi dan anda perlu memastikan virus tidak dibawa ke tempat itu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS