Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah UUM saman fitnah lima pemimpin DAP
Diterbitkan:  Jun 23, 2020 1:27 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata beliau telah memulakan memulakan prosiding saman fitnah terhadap lima pemimpin DAP.

Dia mendakwa mereka memfitnahnya di media sosial dan artikel dalam talian sejak 2017.

Dalam kenyataan kepada media, Kamarul mengesahkan dia memulakan prosiding fitnah terhadap anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, anggota Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Senator DAP Pulau Pinang, Ariffin Omar.

Kamarul, dilaporkan dilarang oleh UUM untuk membuat sebarang kenyataan berbaur politik.

Beliau berkata:

"Saya mematuhi larangan itu. Saya tidak menulis apa-apa, hanya memulakan prosiding mahkamah terhadap orang yang memfitnah saya.

"Mereka yang biasa mengikuti perkembangan saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasti mengingati peristiwa hampir tiga tahun lalu di mana saya telah menegur pemimpin DAP, Hannah Yeoh, kerana, melalui bukunya bertajuk Becoming Hannah, mendedahkan betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau to preach at churches, to world leaders and to young people dan betapa beliau aims to bring Christian faith and service to the public sphere.

"Berikutan teguran saya dan episod-episod selanjutnya, saya telah ditempelak, dituduh, dihina dan diburuk-burukkan oleh pelbagai pihak, khususnya daripada pimpinan DAP, kerana kononnya bodoh, ekstrimis dan tidak layak bergelar pensyarah universiti awam seperti UUM," katanya.

Kamarul juga berkata beliau mahu mengambil tindakan saman fitnah terhadap Dr Arifin Omar, yang ketika itu Senator DAP dari Pulau Pinang berhubung artikel bertajuk “Dr Ariffin Omar nasihati Kamarul supaya guna akal”, yang diterbitkan Roketkini pada 17 November 2017.

Artikel tersebut turut diterbitkan semula oleh Malaysiakini.

Saman fitnah Kamarul terhadap Kit Siang pula berkaitan penerbitan artikel bertajuk “Kamarul Zaman’s police report against Hannah Yeoh raises the question whether he is fit and proper to be a lecturer of plural Malaysia’s public university” pada 18 Mei 2017.

Tuntutan saman fitnah terhadap Kok pula berkaitan catatan di Facebook pada 17 Mei 2017 susulan kenyataan yang antaranya berbunyi “This UUM lecturer is mad” (Pensyarah UUM ini gila).

Chong pada hari sama mengeluarkan kenyataan bertajuk “DAP Sarawak condemns the act of religious bigotry by Kamarul Zaman Yusoff” Lip Eng dengan artikel “Universiti Utara Malaysia lecturer Kamarul Zaman Yusuf should conduct himself in a sensible and noble manner by retracting his police report immediately and to apologize to Hannah unreservedly”.

Kamarul memetik kedua-dua artikel itu dalam kenyataannya mengenai saman tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi lima pemimpin DAP yang berkenaan untuk mendapatkan maklum balas terhadap tindakan undang-undang Kamarul.

Kamarul Zaman banyak mengkritik PH dan tulisnya banyak dimuatkan oleh akhbar web rasmi PAS Harakahdaily..

Kamarul juga sebelum ini dilaporkan menolak lantikan sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali.

Katanya, dia lebih suka kekal sebagai ahli akademik.

Pada Mac 2018 Kamarul dilaporkan terkedu apabila menerima “renungan maut” Dr Mahathir Mohamad.

Ini selepas Mahathir tiba-tiba muncul dalam sebuah forum, yang mana Kamarul menjadi salah seorang ahli panelnya dalam membincangkan sama ada pengerusi Bersatu itu sesuai untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sebelum ketibaan pengerusi Bersatu itu, Kamarul yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mendakwa Mahathir tidak layak untuk menjawat jawatan berkenaan kerana faktor usianya.

Namanya juga mencuri perhatian baru-baru ini selepas mengkritik pakar perubatan Dr Musa Nordin dengan mengaitkannya dengan PH.

Ia susulan Dr Musa membangkitkan isu kekurangan pakaian pelindungan diri (PPE) di kalangan pekerja perubatan ketika berdepan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS