Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan digesa benarkan operasi kedai makan hingga 12 malam

Kerajaan negeri Kelantan digesa agar memberi kebenaran kepada peniaga restoran atau kedai makan untuk beroperasi dalam tempoh lebih lama berbanding sekarang.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan yang mendesak supaya kerajaan negeri bertimbang rasa terhadap peniaga-peniaga yang kini berasa terhimpit untuk mencari rezeki.

"Ribuan kedai makan dan restoran di seluruh Kelantan ini rata-ratanya diusahakan oleh anak tempatan, rakyat negeri Kelantan yang kini sedang bergelut mencari sesuap rezeki setelah hampir tiga bulan berhadapan dengan saat kritikal susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Berdasarkan surat arahan dari Pejabat Pembangunan negeri Kelantan memaklumkan bahawa kebenaran waktu operasi kedai makan dan restoran hanya setakat jam 10.30 malam, ini jelas menunjukkan kerajaan negeri langsung tidak mempertimbangkan nasib rakyat negeri sendiri," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan persekutuan memutuskan operasi kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 malam dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun kerajaan Kelantan sehingga kini hanya menghadkan operasi sektor terbabit sehingga jam 10.30 malam sahaja.

Sementara itu Hazmi berkata, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan supaya tempoh operasi itu selaras dengan arahan yang dibenarkan kerajaan pusat.

"Tetapi sebaliknya kerajaan Kelantan dilihat sentiasa bertindak melawan arus dan sanggup kelihatan ganjil walaupun sampai ke tahap menganggu periuk nasi rakyat sendiri.

"Kami menuntut penjelasan dan justifikasi daripada kerajaan Kelantan, mengapa sektor seperti kedai makan, restoran, pasar awam, pasar segar dan stesen minyak di Kelantan hanya dibenarkan beroperasi hingga jam 10.30 malam," katanya yang mendakwa pelbagai keluhan dilontar oleh golongan peniaga kepada pihaknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS