Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN S’gor minta platform baru lebih baik buat Noh Omar
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 1:39 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

BN Selangor meminta kerajaan memberikan platform lebih baik kepada pengerusinya Noh Omar selepas beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat Petronas, MISC Bhd.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata perkara itu demi membantu menguatkan Perikatan Nasional (PN) di Selangor dan supaya Noh dan BN dapat berkhidmat dengan lebih efektif kepada rakyat.

“Noh mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pembangunan usahawan tempatan, pertanian, dan undang-undang.

“Oleh itu agensi-agensi yang berkaitan dengan hal ehwal di atas mungkin lebih elok dipertimbangkan untuk beliau untuk membantu rakyat berbanding MISC,” katanya.

Noh, ahli parlimen Tanjong Karang itu melepaskan jawatan dalam MISC hanya selepas 17 hari dilantik atas alasan dasar prinsip memberi keutamaan kepada rakyat dan negara.

Sinar Harian pada 19 Jun juga melaporkan Noh berpendapat bahawa jawatan dalam MISC hanya sesuai diberikan kepada ahli korporat dan pesara politik kerana ia hanya berorientasikan keuntungan dan fokus terhadap syarikat semata-mata.

Isham Jalil 

Isham yang juga merupakan bekas pegawai Najib Razak berkata, keputusan Noh itu sesuai memandangkan MISC merupakan syarikat perkapalan antarabangsa.

Katanya, tumpuan syarikat tersebut hanya memberi fokus kepada perniagaan perkapalan antarabangsa dan bukannya kepada pembangunan rakyat tempatan.

“Sebagai ahli politik yang juga pengerusi BN Selangor, Noh memegang tanggungjawab untuk memberikan tumpuan kepada khidmat rakyat tempatan terutama kepada rakyat Selangor dan untuk menyemak-imbang kerajaan negeri, oleh itu MISC bukanlah tempat yang sesuai untuk beliau.

“Tanggungjawab memimpin pembangkang di negeri Selangor ini amat berat di bahu Noh, lebih-lebih lagi apabila Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri Selangor tidak lagi diletak di bawah pengerusi BN Selangor seperti dahulu namun kini diletakkan di bawah Azmin (Ali) dan Bersatu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS