story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tak ada pertemuan Langkawi sama ada rasmi atau tak’
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 1:18 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Pembantu Dr Mahathir Mohamad menolak spekulasi kononnya satu pertemuan sulit diadakan di antara bekas perdana menteri itu dan pemimpin Perikatan Nasional di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Pembantu itu, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin, berkata, Dr Mahathir tidak berjumpa dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein seperti yang dilaporkan.

“Memang disahkan oleh pegawai pengiring tak ada pertemuan sama ada rasmi atau tak.

“Tun (Dr) M pergi Langkawi pun secara last minutes. Spekulasi bahawa Tun M ada plan bercuti dengan Azmin adalah tak benar sama sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Spekulasi, tersebar khususnya oleh akaun Facebook yang berkaitan dengan PKR, susulan gambar setiausaha politik Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya Aby dilihat bersalaman dengan Menteri Luar Hishammuddin Hussein di luar kedai roti The Loaf.

Hantaran itu turut berkongsi dua gambar lain, pertama gambar Dr Mahathir di kedai roti yang sama dan gambar kedua adalah rombongan Azmin.

Namun, tidak ada satu pun gambar yang memaparkan ketiga-tiga lelaki itu bersama. Masa sebenar gambar berkenan dirakamkan juga tidak dinyatakan.

Spekulasi itu juga timbul ketika kebuntuan antara Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri berikutnya sekiranya Pakatan Harapan berjaya mendapatkan kembali kuasa.

Ada penyokong berhujah bahawa Mahathir lebih cenderung memenangi sokongan blok Sabah dan Sarawak untuk membentuk majoriti baru di Dewan Rakyat, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Anwar.

Walau bagaimanapun, tanpa sokongan PKR, peluang Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi dan rancangannya untuk merampas kuasa bersama Pakatan Harapan dan Warisan juga tidak dapat diteruskan.

Anwar turut dilaporkan berjumpa dengan pihak lain, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin Sarawak.

Pemimpin PKR mempertahankan pertemuan itu, dengan mendakwa bahawa Mahathir juga telah melakukan perkara yang sama dengan pertemuan bersama Azmin dan presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Namun, setiausaha agung Bersatu yang jawatannya dipertikaikan, Marzuki Yahya berkata bahawa mesyuarat yang didakwa membabitkan Mahathir itu adalah tidak berasas dan tidak pernah berlaku.

"(Ia) adalah tidak benar dan ia satu tuduhan yang tidak berasas malah khabar angin mengenai pertemuan itu sengaja diadakan untuk menimbulkan spekulasi terhadap Dr Mahathir Mohamad,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS