mk-logo
Berita
GPS tetap sokong Muhyiddin di sebalik lobi PH
Diterbitkan:  Jun 22, 2020 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Gabungan parti-parti di Sarawak (GPS) tetap kukuh di belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika spekulasi bertiup kencang bahawa Pakatan Harapan sedang memperhebatkan lobi bagi memancing sokongan.

Presiden PRS James Masing berkata, bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai lawatan Presiden PKR Anwar Ibrahim ke Sarawak untuk melobi GPS.

"GPS teguh di belakang Muhyiddin," kata James yang dipetik akhbar The Star.

Sementara itu, Ahli Parlimen PBB Santubong, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg akan berunding dengan pemimpin GPS sekiranya berita itu betul.

"Abang Johari adalah pemimpin yang sangat inklusif. Dia mengamalkan inklusif dan tanggungjawab bersama.

"Sebilangan besar keputusan utamanya dibuat dalam perbincangan dengan pelbagai pemimpin, ahli parlimen dan Adun GPS," katanya.

Beliau menambah bahawa parti komponen GPS juga dirujuk ketika mereka memutuskan untuk menyokong Muhyiddin.

"Cukuplah sebelum ini kita ada banyak ketidakpastian dan kerajaan yang tidak stabil," kata Wan Junaidi.

GPS terdiri daripada empat komponen, iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP. Mereka mempunyai 18 MP.

DAP dan Amanah mendakwa Anwar telah melakukan usaha "terakhir" untuk meyakinkan GPS untuk menyokong Pakatan Harapan dan pencalonannya sebagai perdana menteri tetapi tidak mendapat sokongan.

Oleh itu, sekutu PH mendesak Anwar untuk mempertimbangkan agar pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon perdana menteri.

Penyokong berpendapat bahawa Mahathir lebih disenangi oleh blok Sabah-Sarawak yang penting untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS