mk-logo
Berita

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkuat kuasa 16 Mei lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Ronald Kiandee berkata pelantikan Ahmad Tarmizi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Pelantikan Pengerusi Mada baharu iaitu Ahmad Tarmizi berkuat kuasa 16 Mei 2020 sehingga 15 Mei 2022 selepas mendapat perkenan Agong," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Mada di Alor Setar, hari ini.

Dalam sidang media sama, Ahmad Tarmizi merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin atas pelantikannya untuk menerajui Mada.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan Mada terus mempergiatkan usaha meningkatkan tanaman padi di kawasannya selain menjaga kebajikan para petani.

"Saya sudah mendengar taklimat yang penting daripada pengurusan Mada, jadi sudah tentu Mada perlu jadi agensi yang ke hadapan kepada rakyat untuk mengekalkan jelapang padi di Kedah ini.

"Saya juga ingin melihat pegawai Mada turun ke bawah melihat apa masalah sebenar di peringkat petani dan halangan yang boleh diatasi bersama dengan agensi lain yang terlibat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS