Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daim: PH abaikan nasihat berhubung pengurusan pekerja asing

Ahli politik veteran Daim Zainuddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah mengabaikan cadangan mengenai pengurusan pekerja asing yang kesannya dapat dilihat hari ini.

Dalam satu wawancara yang dihantar kepada agensi media, Daim yang juga anggota majlis penasihat kerajaan pada era pentadbiran PH mendakwa beliau secara peribadi telah menulis surat kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dengan mengemukakan beberapa cadangan.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan setelah bertemu dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.

"Cadangan-cadangan ini tidak hanya melihat tindakan yang tepat untuk menghalalkan dan menghantar pulang pekerja haram, tetapi juga akan membawa kepada dasar pekerja asing yang lebih lestari.

"Sebaliknya, saranan-saranan itu dirampas oleh pihak yang berkepentingan," kata mantan menteri kewangan itu.

"Akibatnya, usul-usul itu diabaikan dan janji manifesto yang lain tidak dipenuhi," kata Daim menjawab pertanyaan tentang penyesalannya yang paling besar dalam melihat kembali keputusan dan pelaksanaan dasar dalam masa dua tahun pentadbiran PH.

Pada 31 Dis tahun lalu Lebih 180,000 pendatang tanpa dokumen sah dihantar pulang di bawah program pengampunan Back For Good (B4G).

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran seramai dua juta hingga empat juta pendatang tanpa dokumen di Malaysia yang secara konsisten disebut oleh kumpulan hak asasi manusia.

Sepanjang dekad yang lalu, kerajaan telah melancarkan sekurang-kurangnya empat program pemutihan migran dari tahun 2014 hingga Ogos 2018 yang dilaporkan telah menghantar pulang 840,000 pendatang tanpa dokumen.

Menurut Daim akibat daripada kegagalan PH untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dan pendatang tanpa dokumen dapat dilihat hari ini dalam pengurusan wabak Covid-19 di kalangan pekerja asing dan pendatang tanpa dokumen.

"Selain ketidakmampuan ketidakupayaan jejak kontak dan pengetahuan yang jelas mengenai ukuran jumlah dan keberadaan mereka, penangkapan 'tiba-tiba' (pendatang tanpa dokumen), dan ujian positif yang seterusnya terhadap mereka, tidak hanya menyebabkan peningkatan 'xenofobia' (sikap benci pendatang) di negara ini tetapi juga peningkatan keengganan untuk tampil ke hadapan bagi penghantaran pulang ke negara asal secara sukarela.

"Kita sekarang menghadapi situasi di mana penduduk tempatan menganggap Covid-19 menular hanya di kalangan orang asing, dan ini menimbulkan ketidakpercayaan, penderaan dan ketakutan terhadap semua pekerja asing," tambahnya lagi.

Daim berkata, kegagalan PH telah mengakibatkan aktiviti perniagaan, misalnya di sektor pembinaan, tidak dapat beroperasi semula kerana kekurangan tenaga kerja atau takut penularan berlaku dalam kalangan pekerja asing.

Sehingga 14 Jun, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan telah memeriksa 7,699 tapak projek di seluruh negara, di mana 5,528 daripadanya didapati tidak berfungsi.

Semua pekerja asing di sektor pembinaan diminta untuk menjalani pemeriksaan Covid-19 sebelum dibenarkan bekerja, susulan penemuan kluster baru di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS