Kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk didakwa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata sebelum ini mahkamah koroner mendapati kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
"Oleh sebab itu pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada kabinet.
"Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di Tunjong, Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah perkembangan kes yang menyebabkan kematian Muhammad Adib yang menghembus nafas terakhir pada 17 Dis 2018.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Bendung pemanduan mabuk
Semasa menjadi pembangkang PAS gigih mendesak agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertindak menangkap dan menghukum pihak yang bertanggungjawab membunuh Adib.
Kini PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.
Takiyuddin berkata kes itu masih dalam siasatan dan ianya disahkan sendiri oleh menteri dalam negeri.
"Untuk kes jenayah tidak ada tempoh. Selagi kes berjalan boleh didakwa apabila mendapati cukup bukti," katanya.
Sementara itu mengenai cadangan kerajaan mahu meminda undang-undang mengenai pemandu mabuk Takiyuddin berkata, perkara itu kini berada di peringkat akhir dan akan dibawa ke kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi.
"Akta ini di bawah kementerian pengangkutan dan kita terlibat juga dalam memberikan input.
"Apa yang penting kita cari suatu pendekatan berkesan bukan saja atasi kemalangan maut sebab pemandu mabuk tetapi juga ke arah membendung pemanduan mabuk yang boleh mengelakkan kemalangan maut. Ini sebagai langkah pencegahan kita," katanya yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.
Sebagai rekod, gesaan untuk hukuman lebih tegas timbul sejak zaman kerajaan PH dan cadangan mengenainya sudah dibuat sebelum Langkah Sheraton berlaku dan PN mengambil alih Putrajaya.
Selepas itu kejadian kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk tidak berkurangan, mendorong orang ramai mendesak agar kerajaan bertindak tegas menanganinya.